Ahad, 2 Julai 2017

Najib bukan matlamat mutlak BERSATU

Sebagai ahli (dan bukan pemimpin penting) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) saya terpanggil untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan pengarah pendidikan politik DAP Johor, Mahadzir Ibrahim seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam.
Selepas bertanya kepada Parti Amanah Negar (AMANAH) melalui “Surat ahli DAP untuk AMANAH” pada 28 Jun, Mahadzir nampaknya seperti dibekalkan peluru oleh DAP untuk menghala meriamnya kepada BERSATU pula.
Tidak diketahui apakah pemimpin DAP ini diberikan lesen untuk menghalakan meriamnya kepada BERSATU, namun diharapkan ia hanya persoalan peribadi.
Apapun, pertanyaan itu ada juga baiknya untuk semua ahli BERSATU dan rakyat menilai semula hala tuju parti ini.
Walaupun baru menjadi ahli BERSATU kira-kira empat bulan, persoalan yang saya rasakan paling menarik dibangkitkan oleh Mahdzir ialah: “Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina negara bangsa?”
Menurut beliau, AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah menjelaskan pakejnya.
Selain mahu menjadikan Umno/BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.
Ia memang tepat
Berdasarkan kenyataan ini, ia menggambarkan sebaliknya dalam konteks BERSATU. Digambarkan seolah-olah agenda utama BERSATU hanya untuk menjatuhkan Najib Razak sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dan lain-lain, termasuk penasihat 1MDB.
Saya ingin mengajak pembaca - khususnya Mahdzir sendiri - untuk meneliti, menelaah dan meyakini ucapan pelancaran BERSATU oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu, 14 Januari 2017 jam 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam.
Bagi saya harapan yang digarapkan Dr Mahathir dan sumbangan beliau kepada negara selama ini menjadi sebab besar saya menyertai BERSATU dan meninggalkan Umno - parti yang saya sertai sejak 1983 dengan menjadi ahli kali pertama di cawangan Bukit Chawi, Seberang Perak - selain perkembangan mutakhir dalam negara.
Hakikatnya, inilah inti pati perjuangan dan jika mahu dikatakan sebagai wadah dan visi perjuangan BERSATU pun, ia memang tepat.
Jelas dan nyata, BERSATU ditubuhkan bertujuan mewakili orang Melayu dan Bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang untuk pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.
“BERSATU adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.
“Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain,” kata Dr Mahathir.
Bukankah ini mesej perjuangan dan janji BERSATU kepada rakyat negara ini?
Tiada pilih kasih
Amat nyata sekali tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada bersama rakan-rakan berusaha mengamal makruf dan membasmi kemungkaran BN yang diterajui Umno.
Malah dengan sokongan rakyat melalui parti campuran pembangkang BERSATU berharap untuk mengembalikan Malaysia sebagai negara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.
Sudah pasti melalui cara ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja - termasuk pemimpin kerajaan - jika terdapat salah laku atau jenayah dilakukan.
Dengan kata lain BERSATU bersedia dan akan menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan negara ini daripada kleptokrasi yang bernama BN dengan Najib sebagai penerajunya.
Soal menghapuskan imej negara kleptokrasi ini besar perjuangannya, dan jika diizinkan Allah, tidak akan ada pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang negara.
Malah pendakwa raya tidak boleh meletak tuduhan dan laporan orang awam atau agensi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi sesiapa.
Tidakkah ciri-ciri ini menggambarkan kebebasan berpolitik dan sama sekali berbeza daripada sekarang?
Banyak perkara berkait pembangunan, dasar kewangan, arah tuju pembangunan, dasar luar, pelaburan asing dan sebagainya ditegaskan oleh Dr Mahathir pada pelancaran BERSATU.
Tegar akan dibantu

Kata-kata bahawa: “Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan menghormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman...“ begitu membawa keyakinan kepada saya sebagai pengundi dan rakyat yang dahagakan arah tuju negara yang lebih baik berbanding sekarang.
Dr Mahathir juga mengatakan dengan jelas bahawa kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui usaha mewujudkan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai ringgit dan pengurangan kos sara hidup.
Malah yang kemiskinan tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.
“Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambil kira dalam bantuan yang akan diberi,” tegas Dr Mahathir.
Perkara lain yang penting termasuk:
Ekonomi:
Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti. Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.
  1. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan cukai jualan mengikut selera rakyat dengan nilai mata wang ipertahan tanpa penjualan dolar Amerika dalam simpanan (rizab) negara.
  2. Kejatuhan nilai ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan. Segala perbelanjaan kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui bajet yang sah yang dikemuka kepada parlimen.
  3. Pemulihan nilai mata wang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri adalah antara yang sewajarnya diterima baik oleh rakyat.
  4. Tafsiran foreign direct investment (pelaburang langsung asing) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.
  5. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara.
Dasar Luar:
  1. Dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia;
  2. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.
Pentadbiran:
  1. Pihak kerajaan (Perdana menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.
  2. Perdana menteri pula mesti mendapat persetujuan kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli dewan.
  3. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada perdana menteri dan laporan disampaikan kepada parlimen, kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.
  4. Akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di mana-mana peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya.
  5. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan dikenal pasti dan akan dikaji semula dari segi kemampuan negara.
BERSATU tahu bahawa rakyat berkehendak kepada kerajaan yang bersih. Malah sudah dijelaskan bahawa BERSATU bersependapat dengan kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan, malah BERSATU telah pun menyertai himpunan BERSIH.
BERSATU bersama dengan parti-parti pembangkang akan berusaha mendirikan krajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan pilihan raya di negara tercinta ini. Ini bermakna semua reformasi yang diperlukan akan dilakukan.
Paling penting juga semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu BERSATU menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.
Bagi saya sebagai ahli BERSATU, pernyataan oleh Dr Mahathir itu adalah dasar yang akan dipatuhi oleh kepimpinan parti.
Dan jangan lupa, BERSATU turut berjanji bahawa maruah negara akan dipulihkan di samping akan menyelidik habis-habisan wang 1MDB yang diselewengkan. BERSATU akan 'kejar' semua wang 1MDB yang dilesapkan, dan diketahui berada pada tangan orang tertentu.
Tidak kiralah siapa mengetuai parti itu sama ada presiden, timbalannya dan seluruh ahli majlis perwakilan tertinggi, ia adalah blue print BERSATU yang akan dilaksanakan sepenuhnya sambil melangkah terus ke arah pilihan raya umum ke-14.
Janganlah menganggap BERSATU hanya mahu menurunkan Najib semata-mata kerana agenda masa depan negara lebih penting daripada segala-galanya.

HAMBALI ABDUL LATIFF

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA