Selasa, 25 Julai 2017

MUSUH SEBENAR NAJIB DIRINYA SENDIRI

KETUA Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata musuh sebenar Perdana Menteri Najib Razak ialah dirinya sendiri kerana beliau tiada kredibiliti, bukannya pembangkang.
Veteran politik itu berkata kurangnya kredibiliti Najib boleh dilihat menerusi cabaran pada pilihan raya umum akan datang, termasuk kehilangan sokongan daripada majoriti dominan Melayu dan 1.6 juta penjawat awam.
“Mampukan Najib atasi cabaran ini dengan berbohong, sebar berita palsu dan maklumat tidak benar berhubung DAP dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada persidangan antarabangsa?,” soal Lim pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib menyerang pakatan pembangkang pada persidangan Invest Malaysia di mana perdana menteri menyifatkan pimpinan PH sebagai pesara politik.
Najib dalam ucapannya awal hari ini berkata pemimpin DAP berselindung di sebalik lelaki yang memenjarakan mereka. Beliau juga berkata pemimpin DAP cuba menipu orang Melayu dengan menyatakan bekas pemimpin itu adalah calon sementara perdana menteri.
Walaupun Najib tidak menyebut sesiapa dalam ucapannya pada persidangan Invest Malaysia, Lim berkata dia tidak terkejut kerana Najib tujukan kepadanya secara peribadi.
“Saya cukup menghormati Najib untuk mengetahui bahawa dia tidak mempercayai pembohongan yang diberitahu tentang saya dan Pakatan Harapan tetapi apa yang dia fikir pendapat pelabur antarabangsa?” kata Kit Siang.
“Masalah paling besar Najib ialah dia merupakan perdana menteri Malaysia pertama selepas 60 tahun yang tiada kredibiliti, di tanah air sendiri mahupun peringkat antarabangsa,” katanya dan menambah ucapan Najib hari ini adalah bukti dia gentar dengan kejayaan Pakatan selepas struktur, logo dan barisan pimpinan baharu diumumkan.

Tambah Lim, perdana menteri paling lama berkhidmat Dr Mahathir sendiri tidak pernah menggunakan mana-mana persidangan sama ada di dalam mahu pun luar negara untuk “mengadu” tentang pembangkang.
“Adakah Najjib percaya dengan pembohongannya dalam ucapan aluannya pada persiangan Invest Malaysia ke 13 hari ini yang Mahathir, Anwar dan Muhyiddin adalah boneka; saya mengawalnya di belakang Mahathir?” katanya merujuk kepada ketua pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin.
“Bila Mahathir jadi boneka saya? Kenapa Mahathir yang berusia 92 tahun dan pernah menjadi perdana menteri selama satu pertiga dalam sejarah 60 tahun Malaysia, tiba-tiba jadi boneka Lim Kit Siang?” katanya.
Najib melancarkan serangan ke atas kepimpinan PH – yang diketuai Dr Mahathir dan Anwar – pagi tadi, dan menyifatkan pakatan itu sebagai program kembali bekerja untuk pesara politik ditujukan kepada Dr Mahathir, yang kembali menyertai politik tahun lalu selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri  selama 22 tahun pada 2003.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA