Rabu, 26 Julai 2017

Muhyiddin: Pemuda Umno patut lebih ‘gentleman’

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, sayap Pemuda parti itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan tindakan mereka bukan ancaman kepada Pemuda Umno.
Muhyiddin-Yassin-pemuda-umno-sekat-pwtc-gaduhKUALA LUMPUR: Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pemuda Umno sepatutnya bersikap lebih “gentleman” dengan memberi ruang kepada ahli Pemuda parti itu menyerahkan surat jemputan ke forum “Nothing to Hide 2.0” kepada presiden mereka.
Beliau memuji keberanian Pemuda PPBM cuba menyerahkan jemputan khas kepada Datuk Seri Najib Razak dan berkata, tindakan mereka bukan ancaman mahupun satu kesalahan.
“Hasrat kita untuk menyerahkan surat jemputan ke majlis dan itu tidak seharusnya disekat. Mereka adalah pemuda harapan bangsa, mereka harus bersikap terbuka. Saya anggap ini suatu cabaran.
“Berilah peluang kepada mereka. Saya tidak fikir tindakan itu satu ugutan dan (Pemuda Umno) sepatutnya ‘gentleman’ sikit,” katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, hari ini.
Muhyiddin berharap kejadian semalam tidak berulang pada masa depan.
Semalam, kekecohan berlaku di Sunway Putra Mall apabila hampir 200 ahli Pemuda Umno cuba menyekat sekumpulan ahli Pemuda PPBM ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menyerahkan “jemputan khas” kepada Najib.
Keadaan tidak terkawal itu memaksa campur tangan polis dan Pemuda PPBM mencari perlindungan dalam pusat membeli-belah itu.

Ahli Pemuda PPBM mendakwa mereka ditumbuk dan ditendang, tetapi dakwaan itu disangkal ahli Pemuda Umno yang berkata, ia sekadar “tolakan dan asakan”.
Minggu lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Najib ke forum yang bakal diadakan di Shah Alam pada 13 Ogos ini, untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap mereka berdua.
Walaupun Najib belum memberi maklum balas terhadap jemputan itu, pemimpin Umno bagaimanapun tampil bersuara bagi perdana menteri.
Forum “Nothing To Hide” julung kali dianjurkan pada 5 Jun 2015 di ibu pejabat Umno. Najib dijadualkan menghadiri forum itu dan menjawab pertanyaan umum, namun ia kemudiannya dibatalkan selepas Dr Mahathir hadir untuk berucap tanpa diundang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA