Sabtu, 22 Julai 2017

Menjelang PRU14, akar umbi PKR bimbang kesan perpecahan parti

GABUNGAN bersama Bersatu sudah selesai tetapi bagi PKR, terdapat kebimbangan perpecahan dalaman yang akan menjejaskan peluang parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14).
Walaupun PKR merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang yang sudah tersusun, pergaduhan secara terbuka di antara pemimpin utamanya membimbangkan ahli.
Pemimpin akar umbi berkata, kesannya dapat dilihat dengan maklumat bercanggah dan terdapat persoalan sama ada PKR dapat mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya sebelum ini jika tidak bersatu.
Perpecahan ketara dilihat di antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.
Tahun lalu, Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan pentadbiran Azmin yang merupakan menteri besar Selangor.
Azmin bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkannya. Sehingga hari ini, masih belum jelas apakah status kes ini.
Walaupun pergaduhan secara terbuka sudah tidak lagi kedengaran, tetapi kesan perpecahan masih terasa di dalam PKR.
Dikatakan ini merupakan punca mengapa PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu terpaksa menangguhkan pengumuman senarai kepimpinan dan struktur selama lebih dua bulan.
Sesetengah pemimpin akar umbi mengatakan puncanya ialah apabila penyatu kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim dipenjarakan, sementara ada juga yang berpendapat pemimpin parti haruslah mengenepikan perbezaan.
Sebelum Anwar dipenjarakan pada 2015 disebabkan dakwaan liwat buat kedua kalinya, beliau mengetuai PKR yang bertanding di 99 kerusi Parlimen pada PRU13 dan memenangi 28 kerusi.
Sebelumnya pada PRU12, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, terbesar dalam sejarah parti yang ditubuhkan sejak 1999 itu.
Bagaimana mahu berdepan PRU14?
Pengarah Pilihan Raya PKR Kedah Ridhwan Razali berpandangan perpecahan berlaku di kalangan pemimpin tertinggi partinya disebabkan “kuasa penenang” iaitu Anwar kini terpenjara.
“Walaupun kadang-kala Anwar dapat ke mahkamah dan berjumpa pimpinan PKR, ia tidak cukup. Berbeza jika beliau berada di luar dan memimpin parti,” kata Ridhwan yang juga ketua Pemuda PKR Kedah kepada The Malaysian Insight.
“Kebimbangan saya ialah apakah polemik di antara pemimpin tertinggi ini akan berpanjangan sehingga berlakunya kekeliruan untuk menghadapi PRU14?”
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi berkata, perpecahan pemimpin di peringkat atasan menyebabkan kekeliruan di kalangan pemimpin akar umbi.
“Nak dengar siapa? Nak ikut siapa? Sudah tentu perpecahan memberikan kesan kepada akar umbi di bawah.
“Ahli di bawah keliru. Arahan berbeza-beza. Nasib baik di Selangor program kerajaan negeri aktif, jadi penggerak PKR di peringkat bawah turut menjadi aktif,” katanya.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi bimbang perpecahan pemimpin atasan menyebabkan orang bawahan keliru kerana menerima arahan berbeza. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Julai 2017.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi bimbang perpecahan 
pemimpin atasan menyebabkan orang bawahan keliru kerana menerima 
arahan berbeza.
Menurut Najwan, di peringkat akar umbi mereka terus melakukan kerja seperti biasa tanpa mahu melibatkan diri dengan pertengkaran pemimpin di peringkat nasional.
“Pimpinan PKR peringkat akar umbi perlu secara konsisten turun mendekati rakyat dengan membantu pelaksanaan dasar kerajaan negeri seperti Skim Peduli Sihat dan program kebajikan lain,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata, “perbezaan pendapat yang terlalu besar” dalam kalangan pemimpin utama parti itu menyebabkan kadangkala berlakunya pertindihan maklumat.
“Apa yang saya lakukan, apabila terdapat maklumat atau arahan bertindih, saya akan rujuk semula kepada PKR Pusat,” katanya.
“Apabila berlaku perbezaan pendapat yang besar di kalangan pemimpin, sudah pasti akan berlaku konflik. Tetapi saya percaya apabila dekat dengan pilihan raya nanti mereka akan kembali bersatu.”
Naib Ketua PKR Cabang Petaling Jaya Utara Fazly Razaly mengatakan perpecahan menyebabkan kesatuan dalam kalangan ahli terjejas kerana mereka juga merupakan pengikut kepada pemimpin nasional.
Untuk memastikan PKR terus relevan, beliau menegaskan pemimpin akar umbi dan ahli harus fokus menyelesaikan masalah rakyat.
“Kita tidak boleh menyerang isu nasional sahaja. Kita kena fikir apa yang rakyat mahu. Apa yang kita boleh beri atau apa yang kita akan selesaikan,” kata Fazly yang juga ahli Majlis Daerah Kuala Langat.
Bagi Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Abdul Hamid, perpecahan berlaku kerana “perbezaan pendapat yang agak ketara” tidak diuruskan dengan baik.
“Saya mencadangkan agar ‘Council of Elders’ yang terdiri daripada pemimpin lama parti dan dihormati kedua-dua kumpulan ditubuhkan supaya perbezaan pandangan yang ketara di antara pemimpin PKR dapat diuruskan,” katanya.
Nizam mencadangkan agar pemimpin-pemimpin parti itu agar kembali ke asas perjuangan PKR sejak ditubuhkan sejak 1999 iaitu reformasi dan membela nasib rakyat.
“Yang menyedihkan, perbezaan itu hanya sedikit berbanding dengan persamaan di antara mereka.”
Perbezaan bermakna demokrasi 'hidup'
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin bagaimanapun menafikan partinya mengalami perpecahan sebaliknya mengatakan perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi.
“Memang terdapat banyak perbezaan pendapat. Kita bukan macam Umno, bila Najib Razak cakap semua hanya ikut.
“Umno hanya ikut satu suara sahaja, kita ada proses demokrasi,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.
Sim mengakui pada waktu tertentu, memang terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PKR dan ia ketahui umum.
“Tetapi ini merupakan sebahagian daripada proses di mana ahli politik mengalami proses kematangan.
“Mereka perlu belajar daripada kesalahan. Kadang-kala kita bergaduh secara terbuka tetapi kita belajar daripada itu. Cara ini tidak betul dan mereka perlu bertolak ansur,” katanya.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin melihat positif perbezaan pendapat di kalangan pemimpin partinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Julai 2017.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin melihat positif perbezaan pendapat 
di kalangan pemimpin partinya.
Berhubung dengan perbezaan pendapat di antara personaliti seperti Azmin dan Rafizi, Sim berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai kelebihan masing-masing.
“Azmin ada kekuatan dalam isu Melayu, hubungan dengan istana, pengalaman dalam pentadbiran negeri, hubungan dengan penjawat awam, dan isu luar bandar.
“Rafizi pula mempunyai pengikut yang terdiri daripada golongan intelek, pelbagai kaum, kelas menengah dan boleh memahami isu.”
Mengenai tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) dimulakan sesetengah pemimpin PKR untuk memecahkan parti, Sim berkata ia merupakan langkah strategik untuk mendapatkan sokongan akar umbi.
“Nurul Izzah ada NGO sendiri, Change Makers. Rafizi ada Invoke. Masing-masing perlu buat kerja.
“Saya tidak fikir ini merupakan perkara tidak baik atau ‘parti di dalam parti’,” katanya mengulas kenyataan Ketua PKR Cabang Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong yang menyelar Rafizi kerana cuba memecah belahkan parti dengan menubuhkan Invoke.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA