Jumaat, 7 Julai 2017

Mengapa Hadi sukar terima Najib dalang skandal 1MDB..??

TERDAPAT perbezaan antara skandal kewangan yang berlaku pada era Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, dan menyalahkan bekas perdana menteri untuk mulakan rasuah hanya untuk mengalihkan isu skandal 1MDB membabitkan perdana menteri sekarang, kata aktivis.
Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, tindakan menyalahkan Dr Mahathir sebagaimana yang dilakukan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mewujudkan “kepimpinan melalui teladan” dalam rasuah, tidak akan menyelesaikan dakwaan penyalahgunaan dana pelaburan negara.
Menurut pemerhati dan aktivis lain, Hadi gagal memahami kesan daripada skandal itu dan tujuan siasatan ke atas 1MDB oleh pihak berkuasa asing.
Gabriel berkata, skandal forex Bank Negara yang berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir dan 1MDB di bawah Najib adalah dua jenayah berbeza.
Hadi perlu sedar 1MDB secara langsung membabitkan Najib, yang memegang jawatan perdana menteri, katanya. Beliau turut menegaskan mengenai beberapa  perstiwa di bawah Najib di mana tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya atau 1MDB.
“(Skandal forex dan 1MDB) perlu disiasat, tapi perbezaannya kini adalah Najib merupakan perdana menteri dan beliau didakwa terbabit dalam korupsi, bermakna dia menjadi dalang bagi aliran kewangan rentas sempadan yang merupakan satu kesalahan.
“Penting baginya untuk meletakkan jawatan kerana ia jelas pasukan penyiasat yang ditubuhkan pada awal bantahan awam dibubarkan, kemudian peguam negara dipecat, timbalan perdana menteri dipecat (kerana menentang Najib) dan peguam negara baharu dilantik.
“Apa yang berlaku kepada pasukan penyiasat itu? Ia tidak lagi wujud. Jelas terdapat campur tangan dalam siasatan,” kata Gabriel.
Dia turut mempersoalkan siasatan kerajaan ke atas skandal forex Bank Negara yang lebih dilihat sebagai “permainan politik” daripada perjuangan menentang rasuah.
“Walaupun Dr Mahathir adalah perdana menteri sebelum ini untuk tempoh yang lama dan banyak mengubah institusi demokratik di negara ini, beliau tidak pernah disiasat oleh pihak berkuasa asing atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kesalahan rasuah.
“Tiba masanya untuk kita persoalkan mengapa pihak berkuasa hanya berdiam berhubung perkara itu hingga kini sekiranya memang ada isu?
"Sudah lebih 20 tahun dan baru sekarang kita mahu suruhanjaya siasatan diraja,” tambah Gabriel.
Hadi turut menamakan skandal forex dan beberapa kes membabitkan dakwaan rasuah - Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Petronas, Skyhawk, Maika Holdings dan Port Klang Free Zone – yang berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir.
Gabriel berkata, Hadi seorang yang “naif” kerana mengatakan penyiasat asing tidak sepatutnya menyiasat 1MDB.
Katanya, entiti terbabit berbuat demikian untuk melindungi intergriti kewangan mereka dan membanteras penggubahan wang haram di negara mereka.
“Mereka mahu memastikan sistem tidak berkompromi, sebab itu pembekuan aset dibuat.”
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tiga saman untuk membekukan aset yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB. Aset ini termasuklah barang kemas, kapal layar, hartanah mewah dan hak penyiaran.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, kes rasuah ini adalah berganda.
“Perlu selesaikan isu yang ada sekarang dan berbincang mengenai perubahan jangka panjang,” katanya sambil mengulangi pendirian Bersih untuk mengadakan pembaharuan. Salah satu pembaharuan yang perlu adalah pemecahan kuasa di mana perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan dalam masa yang sama.
  “Apa yang lebih teruk, Najib juga merupakan pengerusi 1MDB, dan 1MDB merupakan syarikat pelaburan di bawah Kementerian Kewangan. Ia jelas konflik kepentingan.
“Kita tidak mahu perdana menteri yang mengakui menerima dana dari sumber asing dan mendakwa ia digunakan untuk pilihan raya umum,” kata Maria merujuk kepada kenyataan Najib ketika skandal 1MDB mula terbongkar dan menyatakan dana berkenaan disalurkan ke akaun peribadi miliknya merupakan derma dari Arab Saudi.
“Ini perlu diberi perhatian kerana ia pennyalahgunaan kuasa yang bertentangan dengan ketelusan dalam kewangan politik,” tambahnya.
Hadi juga katanya perlu sedar terdapat tiga saman difailkan DoJ.
“Ia bukan menjejaskan kerajaan atau campur tangan asing. Ia adalah berkenaan melindungi dan menghalang penggubahan wang haram di AS. Dengan berbuat demikian ia memberi kesan ke atas 1MDB yang dijadikan sebagai saluran untuk pemindahan wang haram.
Sementara itu, Felo Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat berkata Dr Mahathir memang silap, apa yang dipersoalkan adalah tindakan Hadi untuk pertahankan Najib yang mengikut contoh pemimpin sebelum ini.
“Mengapa Hadi perlu pertahankan Najib, yang mencontohi kesilapan Mahathir? Mengapa Hadi tidak mencontohi Nik Abdul Aziz (Nik Mat) yang jelas menentang pentadbiran Najib?” katanya.
 Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir turut menyelar tindakan Hadi untuk menentang siasatan pihak berkuasa asing.
“Ia bukan masalah campur tangan asing. Isu sekarang ini ialah untuk menyelesaikan rasuah dalam 1MDB. Adakah kita mahu menafikan ia berlaku apabila negara lain mencari bukti dan menjalankan siasatan?
Akmal berkata, skandal 1MDB tidak akan selesai sekiranya struktur dan tadbir urusnya siasatan itu sendiri rosak.
“Lebih baik mengubah seluruh situasi itu daripada membiarkan lebih banyak skandal berlaku,” katanya yang turut mendedahkan rasuah membabitkan badan berkaitan kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim).

1 ulasan:

  1. Hadi sepatutnya dah bersara kerana, faktor umur dan kesihatan. PAS ada tuan ibrahim yg lebih dinamik dan berdayasaing untuk memimpin pas. Semoga pas join ph semula.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA