Jumaat, 14 Julai 2017

Menembusi Kubu Kuat Umno Bn Kawasan Luar Bandar Pada PRU 14


Oleh Manivanan Gowin
Pengalaman pembangkang dalam mengharungi beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) telah menjadikan pengajaran bermakna buat pembangkang. Pengalaman ini membuka ruang kepada pembangkang untuk mengatur strategi yang kukuh dalam sistem demokrasi di negara ini bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.
Kini, rakyat semakin hari melihat kerosakan UMNO BN yang terpalit dengan unsur-unsur negatif seperti penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan pengenalan pelbagai polisi yang membebankan rakyat seperti cukai GST.
Situasi ini memberi hikmah bahawa permuafakatan antara rakyat dan Pakatan Harapan semakin direalisasikan bagi memastikan UMNO BN kecundang pada PRU ke-14.
Terdapat persoalan yang hadir di minda rakyat yang mahu laksanakan perubahan, yakni bagaimana Pakatan Harapan dapat meyakinkan penduduk luar bandar yang acapkali menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah negara.
Bahkan di sesetengah lokasi ‘kubu kuat’ atau ‘deposit tetap’ telahpun disebut-sebut sebagai simbolik benteng terakhir UMNO BN untuk terus menyambung hayat mereka dalam arus politik nasional. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pihak kami, terdapat beberapa punca mengapa penduduk luar bandar terpedaya dengan 'wayang kulit' UMNO BN.
a) Taktala rakyat di bandar-bandar telah menyedari kebobrokan UMNO BN, penduduk luar bandar masih kurang mampu untuk mengakses, mengetahui dan memahami isu politik semasa.
Apatah lagi mereka hanya mendapat informasi dari media utama yang dikuasai dan dimanipulasi oleh kerajaan UMNO BN.
Propaganda media berat sebelah ini telah menjadikan penduduk luar bandar terpengaruh dengan dakyah memburukkan pembangkang. Pada masa yang sama, penduduk luar bandar tidak mempunyai ruang dan peluang yang adil dan saksama untuk melihat politik daripada kaca perspektif yang berbeza.
b) Tambahan kepada itu, keadaan menjadi mudarat dan parah apabila UMNO BN menggunakan wang rakyat, sama ada yang disalurkan oleh kerajaan mahupun ahli politik untuk menabur ‘gula-gula’ bagi mempelawa golongan luar bandar untuk mengundi UMNO BN.
Dengan taraf hidup yang rendah penduduk luar bandar, maka pengeksploitasian undi berlaku secara mudah. Seseorang yang kurang berkemampuan akan sanggup melaksanakan kehendak pemberi untuk menagih barangan, misalnya dengan memberi undi kepada UMNO BN untuk mendapatkan wang, beras, bekalan makanan dan seumpamanya.
c) Manifesto janji manis berupa projek jutaan ringgit juga diwawarkan, hatta projek dan program yang dijanjikan tetap tertangguh selepas tamatnya pilihan raya. Projek jutaan ringgit dan janji manis ini hanya merupakan kaedah UMNO BN untuk meraih undi penduduk luar bandar. Melalui projek jutaan ringgit dan janji manis ini, pelbagai harapan yg indah - indah diukirkan, tetapi hakikatnya ianya bertujuan untuk memperdayakan, menge­lirukan dan menipu penduduk luar bandar yang jujur dan naif.
Dalam menghadapi pelbagai tipu muslihat UMNO BN terhadap penduduk luar bandar, Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa strategi untuk memastikan rakyat menyedari, memahami dan melaksanakan reformasi perubahan.
*Muafakat Membawa Berkat*

Namun begitu, keadaan ini hanya akan menjadi realiti apabila wujudnya satu muafakat dan silaturahim di antara rakyat dan Pakatan Harapan. Hanya dengan pemuafakatan dan kerjasama yang baik daripada rakyat, Pakatan Harapan percaya bahawa idealogi reformasi perubahan dapat menembusi kubu - kubu UMNO BN di luar bandar, lantas membawa terus pada reformasi nasional.
Pendekatan menemui penduduk luar bandar untuk mendengar dan menilai idea - idea polisi / dasar Pakatan Harapan akan membawa keputusan yang lebih positif pada PRU yang akan datang.
*Suara Rakyat Suara Keramat, Kuasa Rakyat Kuasa Mutlak*
Berbeza dengan ceramah kebiasaan, kempen - kempen seperti pendaftaran undi dan persediaan jentera pilihan raya turut giat dilaksanakan bagi memastikan PRU kali ini, penglibatan jutaan rakyat Malaysia yang menentang dasar kleptokrat UMNO BN berjaya dengan jayanya.
Usaha yang sudah bermula selepas PRU lepas sehingga kini dilihat mampu menggugat Najib Razak dan sekutunya untuk tidak memandang rendah pada kuasa rakyat Malaysia. Suara Rakyat Suara Keramat, Kuasa Rakyat Kuasa Mutlak!
Agenda Reformasi Perubahan
Selaras dengan itu, kini Pakatan Harapan menganjurkan siri - siri pembongkaran skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadikan topik utama untuk rakyat melihat kerajaan hari ini sebagai kerajaan kleptokrat.
Usaha menghapuskan masyarakat ‘katak di bawah tempurung’ perlu dibuat bagi memastikan rakyat tidak lagi diperbodohkan oleh propaganda murahan media UMNO BN semata-mata. Ianya juga bertujuan untuk melengkapkan setiap warganegara Malaysia dengan ilmu, pemahaman dan kemahiran untuk menilai, menaakul, mentafsir, mengkelas, menganalisis, dan mengaplikasi dalam bidang politik.
Maka, hanya dengan kerjasama rakyat dan Pakatan Harapan, inisiatif untuk menembusi kubu - kuat UMNO BN dapat dilaksanakan. Sekiranya, wujud muafakat, kerjasama dan silaturahim ini, saya amat pasti UMNO BN akan kecundang pada PRU kali ini, dan PUTRAJAYA akan diberi nafas baru melalui agenda reformasi oleh pimpinan Pakatan Harapan.

YB Manivanan Gowin
Ahli Parlimen Kapar
Parti KEADILAN Rakyat
Pakatan Harapan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA