Jumaat, 21 Julai 2017

Media dan Politik: Strategi perang saraf menjelang PRU-14

Oleh Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
PILIHAN RAYA Umum ke-14 bakal menjelma tidak lama lagi. Cuma yang kita tidak tahu adalah bila tarikhnya yang sebenar.

Namun sebagai pengkaij ilmu perang saraf media, saya yakin, semua parti politik di Malaysia sedang bersiap siaga untuk memberi yang terbaik dalam pilihan raya kali ini.

Parti veteran seperti UMNO dan Barisan Nasional pasti mempunyai strategi dan taktik tersendiri untuk mematahkan serangan dan provokasi pihak-pihak yang membangkang. Parti baru pula tidak kurang juga agresifnya dengan menggunakan media sosial sebagai senjata utama dalam cubaan mengimbangi tekanan dan desakan pihak lawan.

Pokoknya, masa, tenaga dan wang ringgit pasti menjadi taruhan bagi setiap parti politik yang bercita-cita untuk menang dan saat ini tiada siapa mahu kalah.

Walaupun saya lebih suka mengkaji bagaimana perangs araf media boleh digunakan untuk mematahkan ideologi kumpulan pengganas, namun kali ini ingin saya memberi beberapa input mengenai strategi perangs araf yang boleh digunakan oleh parti politik di Malaysia dalam PRU ke-14 yang bakal menjelma.

Strategi-strategi ini hanyalah cadangan dan terpulang kepada anda sebagai pemimpin, pemuda, pengikut atau ahli biasa dalam parti tersebut untuk memikirkanya.

Strategi 1: Buku Jacques Ellul Bertajuk Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes

Sebenarnya banyak lagi buku yang ditulis oleh cendekiawan lain dalam bidang ilmu perang saraf dan propaganda.

Ada yang menulis dari apsek falsafahnya dan ada yang menulis mengenai teknik dan taktiknya. Tapi untuk menambah ilmu dan membuka perspektif kita mengenai ilmu perang saraf, buku oleh Jacques Ellul bertajuk Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes (1962) adalah yang terbaik saya boleh cadangkan.

Antara kandungan buku ini adalah huraian mengenai bagaimana propaganda boleh dilakukan dengan memahami dimensi sosiologi dan psikologi manusia.

Buku ini juga memberikan penjelasan mengenai taksonomi propaganda dan fungsinya. Paling penting yang perlu kita fahami adalah propaganda itu adalah mengenai aktiviti menyampaikan kebenaran bukan penipuan dan muslihat seperti yang kita semua faham hari ini.

Jacques Ellul adalah bijak pandai yang mendepani masanya dalam menerajui ilmu propaganda dan buku yang ditulis pada tahun 1962 ini masih relevan ilmunya dalam konteks moden hari ini.
Strategi 2: Mendapatkan Nasihat Pakar Bidang Perang Saraf Media

Kadang-kala kalau kita nak menang kita perlu berkorban. Berkorban bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan masa, malah kita perlu mengorbankan ego kita.

Mungkin kita sudah pakar. Kita sudah mempunyai pengalaman yang lama dalam melakukan aktiviti perang saraf dan oleh sebab itu mungkin akan timbul rasa ego dan rasa kita lebih bagus dari orang lain.

Seeloknya, marilah kita mencari mereka ini dan mendapatkan beberapa pandangan dan nasihat. Mana tahu, nasihat dan pandangan yang diberikan mampu mengurangkan kesilapan.

Menjadikan pengkaji perang saraf sebagai rujukan mampu menjimatkan masa kita untuk membuat kajian dan membaiki kekurangan yang kita tidak nampak dalam operasi perangsaraf sesebuah parti politik itu.

Strategi 3: Kajian Persepsi Sebagai Senjata Gerak Saraf

Dalam perang saraf kita perlu melakukan pengumpulan maklumat atau risikan mengenai sasaran khalayak kita dan ini merupakan salah satu elemen geraksaraf. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Intelligence Gathering. Maklumat mengenai kumpulan sasaran kita adalah kunci kepada kejuruteraan mesej-mesej politik yang efektif. Jika kita tidak tahu menahu mengenai latarbelakang kumpulan sasaran kita, apalah logiknya propaganda yang kita hendak buat?

Atau nanti kita sanggup menerima hakikat bahawa operasi perang saraf tersebut akan menjadi sia-sia dan membuang masa, wang dan tenaga kerana mesej-mesej propaganda yang kita buat tidak memberi kesan kepada sesiapa.

Kajian persepsi membuka peluang untuk parti politik memahami kumpulan sasaran mereka dengan lebih baik dan juga memahami jenis media yang digunakan. Apabila kita mengenalpasti jenis media yang digunakan maka kita boleh mula membuat dan menyebarkan mesej-mesej propaganda politik yang ampuh. Personaliti khalayak di setiap kampung, desa, negeri, daerah atau kawasan adalah berbeza-beza. Cubaan meneka-neka dan hanya menggunakan anggapan kasar tanpa mengkaji sasaran kita akan merugikan kita. Oleh itu, wang perlu dikeluarkan bagi tujuan ini jika kita benar-benar serius walaupun kadang-kala kita yakin satu-satu tempat itu kita mampu memenanginya.  

Strategi 4: Propaganda Balas (Counter Propaganda)

Propaganda Balas atau Counter Propaganda adalah satu pilihan. Perang saraf yang baik adalah apabila sesebuah parti politik itu fokus membina jalan cerita mereka sendiri dan mampu menceritakannya kepada khalayak sasaran dengan maklumat yang jelas, baik dan teratur. Satu bentuk teknik Propaganda Balas yang baik contohnya adalah seperti  usaha dan dedikasi dalam membina imej, kredibiliti, reputasi, dan persona yang hebat sehingga isu yang menyerang sesebuah parti politik itu menjadi tidak relevan.

Serangan propaganda boleh dibalas dengan counter propaganda jika kita mempunyai maklumat yang cukup dan ia benar-benar memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

Contohnya, dalam Perang Dunia ke-2, apabila Nazi Jerman menyebarkan poster propaganda anti Amerika,  tidaklah pihak Amerika Syarikat dan sekutunya membuang masa membuat poster propaganda untuk membalas propaganda poster Nazi Jerman tadi.

Sebaliknya serangan poster tersebut  dibalas oleh Amerika Syarikat penerbitkan beberapa siri kartun animasi anti-Nazi sebagai Propaganda Balas mereka.

Maksudnya, kartun animasi tahun 1940-an bukanlah kerja mudah dan murah, tapi Amerika memilih strategi ini kerana mereka mahu memastikan propaganda anti Amerika tadi mampu menenggelamkan kerelevanannya propaganda Nazi Jerman melalui ‘serangan’ dalam bentuk kualiti kartun animasi yang menarik.

Strategi 5: Perang Saraf Bukan Kerja Individu

Menurut Jacuqes Ellul (1973), “kebangkitan media massa telah membolehkan teknik-teknik propaganda digunakan pada skala lebih tinggi, iaitu masyarakat”.

Tidak dinafikan ada individu yang hebat menjadi seorang propagandis. Dia mampu memukau orang dengan personaliti, bahasa, gaya, ilmu dan sebagainya untuk memenangi hati dan minda orang di hadapannya.

Namun, kemampuan propagandis individual sebegini tidak boleh dijadikan model untuk perang saraf yang melibatkan sasaran ratus beribuan atau jutaan khalayak. Sebabnya kerana, bukan semua orang dengan mudah boleh terpengaruh dengan ciri-ciri yang ada pada dirinya.

Terpengaruhnya manusia itu kepada sesuatu ideologi atau idea politik berbeza-beza sebabnya dan jika mengharapkan seorang sahaja untuk memenangi hati dan minda kumpulan sasaran yang sangat ramai, maka itu adalah satu kepercayaan yang naïf.

Seorang pahlawan yang hebat bertempur belum tentu dia boleh menjadi seorang strategis perang yang hebat pada skala peperangan yang lebih besar yang melibatkan penggunaan kereta kebal, artileri, penembak tempat, dron, jet pejuang dan sebagainya kerana setiap cabang ini mempunyai strateginya tersendiri yang perlu dipelajari dan kemudian diserasikan agar tidak wujud konflik dalam serangan.

Sama juga halnya dengan seorang penembak tepat yang handal, dia seorang diri tidak mampu memenangi sebuah konflik peperangan hanya kerana kehebatannya itu.

Malah perspektif peperangannya beliau juga berbeza contohnya dengan perspektif seorang tentera dari unit khas atas faktor limitasi fungsi dan peranan masing-masing. Selain itu, kejatuhan Nazi Jerman juga adalah kerana contoh yang sama apabila Adolf Hitler dalam Perang Dunia ke-2 cuba menguasai segala-galanya hingga menyebabkan kegagalan strategi serangan dan pertahanan Nazi Jerman jatuh hancur dan lumpuh.

Alasannya, Hilter tidak mempercayai orang-orang kanannya yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus divisyen serangan dan pertahanan mereka masing-masing. Sejarah sendiri membuktikan perangsaraf pada skala besar bukan aktiviti one man show.

Kesimpulan

Kesimpulannya adalah perang saraf memerlukan masa untuk dipelajari. Ilmu yang diperolehi  seterusnya boleh digunakan untuk membantu operasi perangsaraf menjadi efektif.

Media sosial dan media arus perdana hanya ruang untuk menyampaikan maklumat, mesej atau berita. Contohnya, jIka maklumat yang dibuat tidak dikaji kumpulan sasarannya maka media apa pun digunakan akan kurang memberikan kesan mendalam kepada pembaca. Oleh itu, apa yang parti politik perlu pastikan adalah setiap mesej yang dibuat mampu memberi impak kepada psikologi, emosi, minda dan jiwa kumpulan sasaran mereka.

Operasi perang saraf bukanlah satu hal yang boleh dipandang mudah. Oleh kerana kompleksnya operasi dan aktiviti perangsaraf maka sebahagian dari kita menjauhkan diri cuba dari teori, model dan konsepnya sedangkan teori, konsep dan model inilah yang akan membantu serangan perangsaraf sesebuah parti politik itu.

Lima strategi di atas hanyalah untuk renungan bersama. Sebagai pengkaji yang juga merupakan seorang rakyat Malaysia, saya berharap perang saraf politik di Malaysia menjadi lebih baik. Segala bentuk perangsaraf berbentuk misdirection, misinformation, kata-kata kasar, cerca dan sebagainya perlu dibuang dari kamus perang saraf parti politik di Malaysia.

Pengaruhilah rakyat kita maklumat yang terbaik dari yang terbaik dan cuba untuk meluaskan pengaruh tanpa menggunakan bahasa dan maklumat yang tidak beretika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA