Isnin, 24 Julai 2017

MCA tolak saranan pendekatan Islam Hadi

MCA menolak saranan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa masyarakat bukan Islam menerima "pendekatan Islam" dalam urusan politik, sosial dan ekonomi.
Pengerusi Perhubungan MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw berkata langkah itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni.
Dalam kenyataannya berkata pandangan Abdul Hadi sekadar suatu impian semata-mata kerana terbukti negara yang mengamalkan undang-undang hudud gagal membendung pelbagai masalah.
Katanya Pakistan, Bangladesh, Mesir, Sudan dan Afghanistan adalah contoh jelas bagaimana amalan rasuah, penipuan dan salah guna kuasa menjadi suatu kelaziman.
"Rakyatnya hidup merana, malah kebajikan dan kepentingan rakyat tidak terjamin. Bagaimana kesan ke atas orang bukan Islam boleh berbeza (jika pendekatan Islam dilaksanakan)?" katanya dipetik The Star.
Melalui surat terbukanya pada 20 Julai lalu Abdul Hadi bertanya mengapa masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh mencuba pendekatan Islam dalam pelbagai urusan ketika mereka boleh menegakkan ideologi ciptaan Barat.
Tetap tegas bertahan
"Mengapa tidak boleh mencuba pendekatan Islam dalam urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan tanpa dipaksa meninggalkan agama masing-masing?" katanya.
Kalau pun tidak mahu menerimanya, kata bekas menteri besar Terengganu selama satu penggal itu, masyarakat bukan Islam diminta tidak menjadi penghalang pula.
Mengenai rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - atau Akta 355 - Kata Toh, ia hanya akan mengabaikan hak perlembagaan orang Islam dan bukan Islam.
Justeru katanya presiden PAS itu wajar menyedari rang undang-undangnya itu gagal mendapat sokongan bukan saja di kalangan masyarakat bukan Islam, malah di kalangan orang Islam sendiri.
Menurut Toh MCA akan tetap bertegas menolak akta jenayah yang bersifat "melampau berdasarkan agama".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA