Rabu, 5 Julai 2017

Malaysia yang dicurangi

Selepas 60 tahun merdeka, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan nampaknya masih diragu-ragu. Paling tidak ada dua kes yang menarik perhatian umum dalam sehari dua ini berhubung bahasa Melayu.
Pertama, keputusan untuk melonggarkan syarat ke atas pegawai perubatan yang tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan kedua, seruan mufti Perlis kelmarin yang menganjurkan agar rakyat tidak mengundi politikus yang tak fasih berbahasa Melayu.
Dua keadaan tersebut sebenarnya membuktikan satu lagi hal yang lebih mendasar, yakni tentang ukuran jaya atau tidaknya sebuah kebangsaan Malaysia itu sendiri.
Demikian saya membuka tulisan ini dengan mengambil angka 60 tahun kemerdekaan tanah air, tetapi selama itu tetap ada banyak petanda bahawa barah penjajahan masih belum terhakis habis.
Bangsa ini nampaknya terus mahu dilatih sebagai bangsa berjiwa hamba oleh pemimpin dan elit politiknya.
Pelecehan bahasa Melayu hanya sepotong gambaran kepada apa yang mungkin boleh disebutkan sebagai kecurangan terhadap negara ini sendiri.
Curang jenis ini memang jarang dipandang berat, dan dianggap tidaklah seberat kesalahan korupsi atau jenayah seperti membunuh atau mengedar dadah.
Tak yakin ciptaan sendiri
Lantaran itu, menjadi rahsia umum bahawa sikap patriotisme dan cinta bangsa terutama di kalangan politikus hanyalah hiasan luar semata. Ia hanya sebahagian daripada sentimen yang perlu dimainkan untuk memunggah undi, khususnya di kalangan orang Melayu sebagai kaum majoriti.
Selain soal pelecehan bahasa Melayu, antara rahsia umum yang saya maksudkan ialah ramai kalangan elit politikus, termasuklah yang bertaraf menteri misalnya, tidak mengantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Kalau pun tidak hingga ke luar negara, mereka sering mengirim anak-anak ke sekolah antarabangsa yang wujud dalam negara. Apakah itu salah?
Salah atau tidak bukan persoalannya. Namun sikap elit politik dan pak-pak menteri itu sebenarnya menggambarkan betapa tidak yakinnya mereka kepada sistem pendidikan kebangsaan, walhal sistem itu mereka juga yang menciptakannya.
Sistem pendidikan kebangsaan sama ada sekolah rendah, menengah dan universiti dalam negara seakan-akan dikhususkan hanya golongan rakyat biasa: anak petani dan nelayan, anak pemandu teksi dan buruh, anak kakitangan awam dan sama sekali bukan untuk anak-anak mereka!
Semua itu dilakukan bukan lagi secara sembunyi-sembunyi atau malu-malu, bahkan dengan mencolok mata serta bermegah-megah pula.
Pemikiran jiwa hamba ini tidak lain adalah bagi membuktikan konon anak-pinak elit politiklah yang tetap berdarah biru - meski pendidikan luar negeri sekalipun tak semestinya membuktikan seseorang itu semestinya lebih pintar dan layak.
Jangan asal namanya luar negeri, maka semua dianggap hebat atau terbaik.
Rakyat tahu mereka boleh berbuat sewenang-wenangnya kerana mereka mempunyai kuasa dan wang, dan bukan semestinya atas prestasi akademik yang terlalu cemerlang.
Munafiknya ahli politik
Pada masa sama, warga maya juga boleh melihat bagaimana dalam maksud penggunaan bahasa yang mudah sekalipun, penguasa elit akan cenderung menulis di media sosial dengan bahasa Inggeris.
Maksud ayat yang diatur selalunya bukanlah mempunyai konsep pemikiran yang canggih sehingga perlu dipinjam bahasa asing disebabkan tiada istilah asal di dalam bahasa Melayu, tetapi begitulah mainan halus untuk akhirnya bertujuan memperbodoh dan merendah-rendahkan rakyat terbanyak.
Keadaan ini sesungguhnya ada terbawa-bawa sampai ke dalam sidang parlimen dan kita boleh saksikan betapa cacamarbanya kualiti perbahasan mereka.
Terkikisnya sikap nasionalisme juga boleh dihidu di dalam pelbagai isu lain. Misalnya tempoh hari ketika heboh-heboh syarikat China mahu mengambi alih saham milik kereta nasional, Proton.
Mengapa tak ramai politikus yang berani tampil bersuara lantang?
Dalam barisan pembangkang sekalipun, seakan-akan hanya Dr Mahathir Mohamad seorang yang kelihatan cukup garang tidak mahu saham Proton yang dimiliki DRB-Hicom terlepas kepada syarikat luar. Rata-rata politikus lain menjadi lebih menikus daripada tikus.
Mereka menikus tidak lain kerana mereka mempunyai asas keberanian untuk mempertahankan Proton. Rata-rata pemimpin politik itu sendiri tidak menggunakan Proton sebagai kereta peribadi.
Kalau ada di kalangan menteri yang terpaksa menaiki Proton Perdana, itupun kerana ia menjadi kereta rasmi kerajaan. Ketika keluar membeli-belah, mereka akan mengenderai jenama kereta Eropah atau Jepun yang bukan kepalang harganya.

Agak mengecewakan juga apabila ada di kalangan pembangkang yang secara terbuka menghina jenama Proton sehingga seakan-akan menafikan sama sekali kemampuan jurutera tempatan.
Semua penghinaan sebegitu dilakukan ketika umum tahu yang mereka tetap ‘menyembunyikan’ kereta mewah di rumah.
Kemunafikan ini samalah dengan memakai jenama jam murah ke pejabat atau bersama rakyat, sedangkan pada waktu sama menyembunyikan jenama jam mewah di rumah dan dipakai untuk majlis-majlis tertentu.
Habiskan saja PRU nanti
Bagi wakil rakyat yang mewakili kawasan luar bandar, mereka biasanya ada kereta kedua yang digunakan untuk kelihatan lebih tawaduk apabila balik kawasan di kampung. Kereta yang dipakai di Kuala Lumpur sama sekali lain.
Begitu juga ketika menggunakan pesawat murah tak lebih hanya bagi tujuan paparan media semata-mata.
Daripada beberapa contoh yang dipetik, rakyat wajar tahu bahawa kecurangan terhadap bahasa Melayu misalnya hanyalah hal kecil sahaja. Isu tersebut akan segera reda dengan satu dua kenyataan kuncu-kuncu politikus di Facebook.
Kemudian mereka akan kembali kepada sifat curang kerana semakin bercurang semakin enak pula dirasa mereka.
Memang cerita-cerita seperti di atas kedengaran bersifat sangat peribadi, tetapi sekiranya dilakukan hampir oleh semua yang bergelar penguasa politik, di situlah wajar dipandang serius.
Ada benarnya seruan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar kita tak mengundi lagi mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Hikmah tersembunyi daripada seruan itu ialah dengan harapan agar politikus yang palsu itu dapatlah dihabiskan sahaja dalam pilihan raya umum akan datang.
Bangsa ini sesungguhnya lebih berharga daripada segala bentuk permainan silap mata politik pencurang.
Selain daripada korupsi dan jenayah, inilah sebentuk lagi kecurangan yang paling bahaya kepada Malaysia; yang sedang semakin galak dilakukan oleh sang angkara murka.

HASMI HASHIM

1 ulasan:

  1. Hidup malaiyu..blah la..Sapa utg..Sapa punya angkara pH Kan bn..bahasa melayu pun depa Tak jaga..juai..habih..cina la utg ..India yg mak dari India..bapak Malaysia utg..Tak yah pass bm..leh jadi doktor..mca mic yg utg

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA