Isnin, 31 Julai 2017

Laporan audit kesan salah guna RM95,000 untuk warga emas

Terdapat lebihan belanja RM46,000 semasa perolehan peralatan dan kelengkapan PAWE walaupun tidak mempunyai sebarang permohonan.
lkan-rumah-orang-tua-paweKUALA LUMPUR: Program Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PAWE) didapati menyalahgunakan bantuan geran peruntukan sebanyak RM95,200 dengan memberi pinjaman kepada penyelia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan pusat berkenaan.
Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1, mendapati bantuan geran disalahgunakan bagi tujuan peribadi dan aktiviti persatuan sehingga menyebabkan kekurangan wang bagi menampung perbelanjaan untuk aktiviti PAWE.
Semakan Audit pada April 2017 mendapati keseluruhan pinjaman tersebut telah dibayar balik.
Laporan itu menyebut, PAWE di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut membuat perbelanjaan sebanyak RM70,988 tanpa mengikut garis panduan yang ditetapkan dan tiada permohonan dibuat untuk perbelanjaan tersebut.
“Semakan audit terhadap perbelanjaan bagi 11 PAWE yang dilawati mendapati terdapat tujuh PAWE telah membuat perbelanjaan yang tidak tersenarai dalam garis panduan PAWE seperti pembelian dan penyenggaraan aset, tuntutan perjalanan serta pemberian bonus,” menurut laporan itu.
Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, juga mendapati terdapat lebihan belanja berjumlah RM46,733 semasa perolehan peralatan dan kelengkapan PAWE yang mana perbelanjaan tersebut tidak mempunyai sebarang permohonan.
Menurut laporan tersebut, pihak audit dimaklumkan perbelanjaan dibuat disebabkan keperluan mendesak dan kesuntukan masa.
Sementara itu, maklum balas KPWKM berhubung penyalahgunaan geran yang diterima oleh Jabatan Audit Negara bertarikh 11 Mei 2017, menyatakan kementerian itu telah menghantar Surat Amaran dan Peringatan Salah Guna Geran Pengoperasian kepada NGO pada 8 Mei 2017.

Menurut KPWKM, bagi perbelanjaan RM70,988, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan beberapa penambahbaikan antaranya menyedia, meneliti dan menambah baik Draf Garis Panduan PAWE selaras dengan teguran audit.
Bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan, Jabatan Audit Negara mencadangkan beberapa syor kepada kementerian itu untuk diambil tindakan antaranya KPWKM perlu mewujudkan satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat salah guna geran bantuan PAWE.
Kementerian juga perlu mempertingkatkan pemantauan terhadap program bantuan dan perkhidmatan warga emas, kata laporan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA