Ahad, 9 Julai 2017

Lanjut khidmat hakim: PH mahu mohon pandangan Agong



Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan perbincangan segera dengan pimpinan Pakatan Harapan bagi merayu Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan berikutan perlanjutan perkhidmatan dua hakim kanan negara ini.
Beliau berkata, pelantikan semula Tan Sri Md Raus Sharif untuk tempoh tiga tahun, dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (dua tahun) teramat kontroversi.
Wan Azizah Wan IsmailTempoh perkhidmatan mereka masing-masing sepatutnya berakhir pada 4 Ogos dan 28 September ini.
“Tindakan ini akan mewujudkan duluan di mana hakim-hakim akan membuat keputusan untuk memuaskan cabang eksekutif demi mendapatkan habuan iaitu lanjutan tempoh perkhidmatan dengan cara yang meragukan ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ketua pembangkang itu berkata, hakim tambahan boleh dilantik atas nasihat ketua hakim negara yang masih berkhidmat, selain daripada jawatan yang termaktub dalam Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, hakim besar Malaya dan hakim besar Sabah dan Sarawak serta 11 hakim Mahkamah Persekutuan.
“Maka pengumuman Pejabat Perdana Menteri bahawa pelantikan terbaharu ini dibuat atas nasihat ketua hakim negara yang baru bersara April lalu perlu dipersoal,” katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Justeru, katanya, beliau juga akan membawa usul ke parlimen bagi membincangkan perkara itu yang turut dianggap menyalahi perlembagaan oleh dua bekas hakim serta Badan Peguam Malaysia.
Pejabat Perdana Menteri ketika mengesahkan pelantikan itu berkata Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos, manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.
Kerajaan berkata keputusan mengekalkan Raus dan Zulkefli dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Ia menambah pelantikan dibuat atas cadangan ketua hakim ketika itu, Tun Arifin Zakaria kepada Agong pada 30 Mac sebelum bersara.
Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman hari ini berkata keputusan itu memberi gambaran para hakim sedia ada di Mahkamah Persekutuan belum sedia untuk diangkat.
Bekas presiden Badan Peguam Zainur Zakaria berkata mengekalkan Raus dan Zulkefli menghantar mesej hakim lain di Mahkamah Persekutuan tidak layak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA