Sabtu, 8 Julai 2017

Laluan sukar menanti jelajah 1MDB Pakatan Harapan bila UMNO-BN dalam tekanan..!!


Laluan sukar menanti jelajah 1MDB Pakatan Harapan
Orang ramai berdiri di luar dewan masyarakat di Penaga, Pulau Pinang ketika ceramah sempena jelajah Pakatan Harapan untuk menjelaskan mengenai skandal 1MDB diadakan kelmarin. 
CERAMAH pertama Pakatan Harapan (PH) dalam siri jelajah seluruh negara mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MBD) menunjukkan betapa sukarnya untuk menghubungkan isu itu dengan masyarakat Melayu luar bandar.
Pengalamannya di Penaga, Pulau Pinang dan juga acara yang diadakan di Selangor, akan menentukan sama ada jelajah itu akan menepati sasarannya – untuk menjadikan 1MDB isu penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebagai permulaan, PH terpaksa berdepan dengan cubaan mensabotaj ceramah itu apabila kain rentang dan bendera parti yang menguar-uarkan mengenai program itu dikoyakkan malam sebelumnya ketika ia dijadualkan diadakan di dewan masyarakat Penaga.
Penganjur percaya itu sebabnya mengapa program itu hanya berjaya menarik kira-kira 200 orang hadir ke dewan di kawasan yang menjadi kubu kuat Umno bagi kerusi Parlimen Kepala Batas.
Kebanyakan yang hadir ialah aktivis dan penyokong gabungan empat parti pembangkang, DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. Tidak pasti berapa ramai yang hadir itu ialah pengundi Melayu kawasan luar bandar yang menjadi kumpulan sasar ceramah berkenaan.
Tetapi apa yang PH lakukan ialah teruskan ceramah. Pertunjukan slaid Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengenai 1MDB dikatakan berkesan dalam menjelaskan kerumitan dalam skandal enam tahun itu.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pula menyampaikan mesej kritikal bagaimana Umno dan pentadbiran Najib Razak menggunakan agama untuk mengalihkan perhatian daripada hubungan perdana menteri itu dengan skandal 1MDB.
Penganjurnya berharap jelalah itu akan menjana kemarahan yang cukup dan momentum di seluruh negara dan mengumpul satu perhimpunan besar pada September.
Dengan berbuat demikian, ia berharap untuk menggunakan sekali lagi tenaga dan mood selama berbulan-bulan sebelum menjelangnya PRU13, di mana himpunan dan ceramah besar-besaran pembangkang membantu ia memenangi 52% undi popular.
Pua yang selama ini menjadi pengkritik 1MDB dan salah seorang ketua penggerak jelajah itu berkata pemilihan Penaga sangat penting.
“Jika kita tidak boleh berjaya di kubu kuat Umno di negeri di mana kita berpengaruh, jadi sia-sia saja untuk mulakan semua ini,” katanya.
Hentian berikutnya bagi jelajah itu ialah Sungai Aceh di Nibong Tebal, satu lagi kubu kuat Umno di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir PH.
Ketika lawatan The Malaysian Insight ke Penaga pada malam sebelum ceramah itu, kebanyakan penduduk kampung yang ditemui berkata mereka tidak tahu mengenainya kerana tidak ada kain rentang memaklumkan.
Kebanyakan 200 hadirin yang datang pada malam tahu mengenai acara berkenaan lebih awal dan datang dari bahagian pulau, Permatang Pauh dan Sungai Petani, Kedah.
Pua tidak melihat keadaan itu sebagai masalah kerana jelajah itu juga bermatlamat untuk melatih penyokong PH untuk berkomunikasi lebih baik dengan pengundi mengenai skandal itu.
“Mereka yang datang ini, kita perlu beri mereka semangat lagi dan membina keyakinan yang perubahan boleh berlaku,” katanya.
Shazni Munir Mohd Ithnin daripada Amanah salah seorang aktivis yang teruja dengan jelajah itu.
“Semua aktivis PH di akar umbi bekerjasama baik jadi bila PH kata mereka akan fokus pada jelajah 1MDB, ia langkah politik yang sudah lama dinantikan,” katanya yang tinggal di Johor.
Kempen yang dinantikan
Jelajah itu juga akan menyatukan aktivis dan penyokong yang hilang semangat untuk kembali berjuang menentang musuh sama selepas berbulan melihat pemimpin mereka bertelagah secara terbuka.

Pemimpin PH secara terang-terangan tidak sependapat mengenai struktur kepimpinan mereka, dan sama ada hendak menamakan calon perdana menteri atau tidak.
Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga bermasalah dengan pihak dalam partinya sendiri dan DAP dan Amanah kerana cubaan berterusannya untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan PAS.
PAS secara rasmi memutuskan hubungan dengan PKR dan menganggap DAP dan Amanah sebagai musuh.
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata krisis itu boleh melengahkan usaha untuk menjayakan jelajah berkenaan.
“Bila anda mengadakan ceramah, anda memerlukan aktivis tempatan membantu menganjurkan dan mempublisitikan. Anda tidak boleh melakukannya jika bergaduh antara satu sama lain.
“Anda juga perlu kepimpinan yang teguh, bersatu untuk menunjukkan di pentas ceramah yang anda satu pasukan tegap dan hendak membawa semangat jelajah itu ke peringkat seterusnya,” kata Hisomuddin yang juga pengarah eksekutif Ilham Centre.
Hisomuddin berkata perpaduan menjelang PRU pada 2013 di mana PAS, PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat yang teguh, menjadi sebab besar atas kejayaan pembangkang.
Sehubungan itu, jika PH menemui cara terbaik menjelaskan mengenai 1MDB kepada masyarakat luar bandar dan jika isu itu paling kritikal dihadapi negara, keseriusannya boleh terjejas kerana PH sendiri.
Pengundi mungkin yakin betapa teruknya 1MDB, tetapi mereka kekal tidak yakin PH dapat menyelesaikannya jika parti dalam gabungan itu sendiri pun tidak boleh bekerjasama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA