Sabtu, 8 Julai 2017

Kumpulan peguam bimbang kontroversi lanjutan khidmat ketua hakim...keputusan politik..!!


Kumpulan peguam bimbang kontroversi lanjutan khidmat ketua hakim
Perkhidmatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dilanjutkan tiga tahun lagi. 
KEBIMBANGAN mengenai lanjutan tiga tahun perkhidmatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan walaupun mencapai usia bersara mungkin akan menyebabkan pelantikan itu dicabar kerana peguam berkata ia menjejaskan tanggapan terhadap kebebasan badan kehakiman Malaysia.
Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan lanjutan itu, mengesahkan laporan The Malaysian Insight pada 26 April yang perkhidmatan Raus dan Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar akan dilanjutkan walaupun sudah mencapai usia persaraan.
Hakim bersara pada usia 66 sementara penjawat awam seperti KPN pada usia 60. Kali terakhir berlaku perubahan besar seperti ini dalam badan kehakiman ialah ketika kerajaan Dr Mahathir Mohamad memecat lima hakim tertinggi pada 1988.
“Saya percaya Majlis Peguam akan berbuat begitu,” kata peguam dan bekas menteri Zaid Ibrahim ketika ditanya adakah akan ada yang mencabar lanjutan perkhidmatan Raus.
Majlis Peguam tidak memberi respons terhadap soalan The Malaysian Insight berhubung pelantikan Raus yang bermula 4 Ogos, di mana Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan lantikan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan bagi dua penggal bermula 28 September, 2017.
“Kita tidak ada kedaulatan undang-undang sejak lama dulu, ia bukan sesuatu yang baru,” kata Zaid ketika dihubungi malam tadi.
“Apa Najib hendak, Najib dapat. Ini tidak mengejutkan,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak dan pejabatnya yang mengumumkan lanjutan untuk Raus.
Pakar undang-undang perlembagaan dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Aziz Bari berkata pelantikan itu kontroversi kerana ia mengenai tanggapan terhadap kebebasan dan integriti kehakiman.
“Tidak ada alasan untuk ketua hakim dilanjutkan perkhidmatannya, walaupun hanya untuk sebulan atau seminggu. Sistem perundangan perlu diteruskan.
“Hidup perlu diteruskan. Semua orang tidak boleh berhenti hanya kerana seseorang. Bukannya pemegang jawatan sekarang terlalu bagus sehingga segala-galanya akan berakhir jika dia berhenti,” kata Aziz kepada The Malaysian Insight.
“Badan kehakiman perlu dilihat bebas. Tanggapan itu bertambah teruk dengan lanjutan perkhidmatan ini.”
Aziz berkata ketua hakim patut “berkorban dengan tidak menyambung perkhidmatannya”, bukan terus kekal di situ kerana pelantikan baharu akan diumumkan kerajaan.

“Tidak perlu melanjutkan perkhidmatan anda. Tidak ada apa yang beliau lakukan tidak boleh dilaksanakan orang lain. Biarkan orang lain teruskan apa yang anda sudah lakukan.
“Malah sama juga dengan KPN. Kita berkelakuan seperti tidak ada orang lain boleh buat kerja dia, macamlah dia terlalu cekap hingga tidak boleh digantikan,” katanya merujuk kepada Khalid yang sepatutnya bersara pada Oktober tetapi spekulasi menyatakan beliau akan kekal memegang jawatan.
Pelantikan baharu itu dibuat di bawah Artikel 122(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim tertinggi perlu bersara selepas umur 66 tahun dan enam bulan tetapi Artikel 122(1A) memperuntukkan hakim tambahan yang tidak mempunyai had umur.
Sebelum pelantikan mereka, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad berkata Artikel 122(1A) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanjutkan khidmat ketua hakim negara.
Hamid juga berkata pelantikan hakim tambahan perlu dilakukan menerusi cadangan ketua hakim negara, yang bermakna ketua hakim tidak boleh mencadangkan dirinya sendiri sebagai hakim tambahan.
Oleh itu katanya hakim tambahan tidak boleh menjadi ketua hakim negara.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri berkata pelantikan Raus dan Zulkefli dibuat atas cadangan bekas ketua hakim sebelum ini Arifin Zakaria yang bersara pada 30 Mac 2017.
"Pelantikan Md Raud Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat ketua hakim negara ketika itu, Ariffin Zakaria kepada Yang di Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA