Jumaat, 14 Julai 2017

Kritikan Salleh Keruak bukti Umno ‘ketakutan’, kata Syed Saddiq

Ketua pemuda PPBM berkata Umno bimbang kerana Pakatan Harapan menampilkan barisan kepimpinan yang mematahkan dakwaan ia didominasi DAP.
syed-saddiq-sallehUmno bimbang melihat Pakatan Harapan menampilkan barisan kepimpinan yang mematahkan dakwaan ia didominasi DAP, kerana itu Datuk Seri Salleh Said Keruak mempertikaikan mengapa DAP tidak membolot jawatan tertinggi pakatan pembangkang, kata Pemuda PPBM.
“Ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad (PPBM), presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), kemudian timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
“Ia menunjukkan mereka takut sampaikan menteri propaganda Umno sendiri bagi kenyataan,” kata Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.
Salleh di blognya hari ini menyoal pegangan minoriti DAP dalam struktur Pakatan Harapan yang diumumkan lewat malam semalam, walaupun DAP mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai dalam kalangan parti komponen PH.
Pakatan Harapan hanya menampilkan 3 pemimpin DAP dalam struktur baharu ini, iaitu Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (naib presiden) dan Ahli Parlimen DAP M Kula Segaran (bendahari).
Tiga naib presiden ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, manakala Setiausaha Agung PKR dilantik ketua setiausaha.
“Salleh kata struktur baru ini perkecilkan DAP tapi sebelum ini beliau kata PH didominasi DAP…kalau ada lagi pihak Umno menyatakan PH didominasi orang Cina DAP maksudnya mereka betul kurang cerdik,” kata Syed Saddiq.

syed-saddiq2
Nafi anak MB Johor sertai PPBM
Di sidang media yang sama, Syed Saddiq tampil membetulkan tanggapan mengatakan anak menteri besar Johor, Akmal Saufi Mohamed menyertai PPBM.
“Dia bukan ahli Penuda dan beliau masih dalam Umno,” katanya, menjawab kenyataan DAP Johor Isnin lepas.
“Walau tanggapan ini dibuat oleh rakan DAP, tapi salah tetap salah, saya nak betulkan tanggapan tersebut.”
Akmal sendiri menafikan dakwaan itu dan mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat kepada DAP menuntut laporan tidak bertanggungjawab itu diturunkan serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA