Rabu, 12 Julai 2017

Kongres AS bawa akta baharu halang si korup guna ‘sistem perbankan kami’

Akta baharu itu menerima sokongan Republikan dan Demokrat dan bertujuan menghalang sistem kewangan negara itu diperalatkan penjenayah dan golongan korup.
us-congressKongres Amerika Syarikat bakal meluluskan akta baharu yang bertujuan memaksa syarikat kosong yang didaftarkan di negara itu mendedahkan butiran aktivitinya, usaha yang dilihat turut menyasarkan syarikat yang terpalit dalam siasatan pihak berkuasa AS terhadap 1MDB.
Akhbar New York Post melaporkan rang undang-undang yang menerima sokongan kedua-dua anggota Republikan dan Demokrat itu akan membolehkan Jabatan Perbendaharaan menerima butiran terperinci syarikat yang menjalankan urusan di negara itu, dengan memberi contoh 1MDB yang melibatkan Goldman Sachs dan ketua rantau Asia bank itu, Tim Leissner, yang baru-baru ini dikenakan tindakan di Singapura kerana terlibat dalam kecurian dana 1MDB.
“Syarikat kosong digunakan untuk membolehkan kecurian dan pengubahan wang, yang didakwa berasal daripada dana tersebut,” akhbar itu memetik seorang penyiasat yang rapat dengan siasatan ke atas 1MDB.
“Seorang individu menggunakan syarikat kosong untuk menyembunyikan aset dan hartanah, dan membuka akaun bank untuk menggerakkan wang melalui akaun pihak ketika yang dikawal peguam bagi mengelakkan diri daripada pantauan berkait pengubahan wang,” katanya.
Ahli politik di sebalik rang undang-undang itu berkata, AS satu-satunya negara maju yang pada masa ini tidak mensyaratkan pendedahan pemilikan syarikat.
“Akta Ketelusan Korporat yang dibawa saya bakal mengubahnya,” kata wakil Republikan Carolyn Maloney yang menganjurkan rang undang-undang itu bersama rakannya Peter King.
“Penjenayah mengambil peluang daripada undang-undang dengan menubuhkan syarikat — selalunya tanpa kewujudan secara fizikal mahupun sebarang aktiviti perniagaan — untuk menggunakan sistem perbankan kami,” kata King.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) sejak setahun lalu dalam siasatan mendalam terhadap individu dan syarikat berkait 1MDB, menerbitkan dokumen beratus muka surat menunjukkan bagaimana aset dan hartanah mewah dibeli menggunakan dana berbilion dolar dicuri daripada 1MDB.

Dalam saman perampasan sivil difailkan Julai tahun lepas, DoJ berusaha untuk mendapatkan semula aset bernilai AS$1 bilion (RM4.28 bilion) yang didakwa dikaitkan dengan dana 1MDB.
Aset termasuk hotel mewah dan kondominium, jet peribadi, karya seni lukis serta pembiayaan filem Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.
Bulan lalu, DoJ memfailkan saman sivil lain untuk merampas aset AS$540 juta (RM2.3 bilion), termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar bernilai AS$165 juta dan hak membabitkan 2 filem komedi dibintangi Jim Carrey dan Will Ferrell, semuanya dibayar dengan dana yang didakwa dari 1MDB.
Sementara itu, New York Post berkata akta baharu itu bakal merumitkan usaha memindahkan wang curi.
“Kelulusan undang-undang baharu ini akan menyulitkan wang kotor dipindahkan, mahupun disorok dan dinikmati, dan akan menunjukkan Kongres serius memastikan AS tidak dieksplotasi oleh penjenayah dan mereka yang korup yang menjadi ancaman keselamatan negara,” kata Stefanie Ostfeld mewakili kumpulan pemantau korupsi, Global Witness.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA