Rabu, 12 Julai 2017

Kita lawan Umno cara baik, kata pemimpin PAS

Kita lawan Umno cara baik, kata pemimpin PAS
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman Ibrahim hari ini mengatakan melawan Umno ada cara tertentu dan bukannya sebarangan tindakan boleh diambil. 
MELAWAN Umno bermaksud menewaskan mereka dalam pilihan raya umum seterusnya, bukan memaki atau berseteru dengan mereka, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman Ibrahim.
Azman berkata PAS mahu menewaskan Umno tetapi itu tidak bermaksud perlu sentiasa memaki mereka, lapor Harakahdaily hari ini.
“Lawan Umno juga bukan bermakna antara kita tiada langsung titik persamaan yang membolehkan kita duduk berbincang demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Azman mengatakan yang kekurangan ilmu politik menyebabkan ramai yang gagal memahami keperluan menteri besar daripada PAS bertemu dan berunding dengan perdana menteri.
“Terkongkongnya minda dan IQ sehingga berbaju melayu warna sedondon juga menjadi modal yang dijaja bertahun,” tambahnya lagi.
Azman menambah yang PAS meminta Umno berhenti mentadbir negara kerana kerosakan yang dilakukan mereka tidak dapat diperbaiki lagi.
“Kita nak jemput orang Umno berpindah daripada kapal Umno yang sedang mereput dan hampir karam untuk menaiki kapal PAS yang teguh belayar. Kerosakan yang menimpa kapal Umno sudah terlalu parah.
“Anak kapal sudah sedar sebenarnya akan hakikat yang menimpa kapal mereka. Tapi mereka kekal berada di atas kapal ini kerana masih ada simpanan harta karun dalam perut kapal yang boleh direbut sebagai habuan. Demi habuan ini, mereka pejamkan mata seketika,” tambah Azman.
Katanya lagi, PAS perlu membuka mata parti pemerintah dan menggalakkan mereka untuk berfikir demi masa depan generasi akan datang dan negara.
“Paling penting kita wajib berfikir dan berpolitik tanpa melupakan apa yang akan kita hadapi dalam kubur kelak,” katanya lagi.

2 ulasan:

  1. Lawan umno dgn baik. Tapi dgn dap dan amanah boleh caci maki. Dgn pkr dan bersatu TERPAKSA kompromi krn takut hilang undi melayu. Ini politik matang pas, bukan drp ajaran Islam

    BalasPadam
    Balasan
    1. PAS patut berkorban untuk rakyat dengan bekerjasama dgn pakatan harapan bagi menukar kerajaan. Jika pas bersama ph, pasti bn akan kalah.

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA