Selasa, 11 Julai 2017

Khairy perlu desak perasuah, perompak lepas jawatan


Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berpendapat Khairy Jamaluddin perlu mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan supaya pelbagai pertuduhan terhadap Presiden Umno itu disiasat.
Tegasnya, Khairy perlu mementingkan ketelusan dan integriti dalam politik dan bukannya mempertahankan perasuah dan perompak.
Khairy Jamaluddin Faiz Fadzil"Khairy Jamaluddin seharusnya meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan dan berundur daripada politik agar segala dakwaan berkaitan salahlaku jenayah korupsi, pecah amanah dan pengubahan wang haram disiasat secara telus dan didakwa di mahkamah undang-undang.
"Gaya kepimpinan kleptokrasi yang diamalkan Perdana Menteri bukanlah suatu contoh tauladan yang baik untuk generasi muda negara," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kegagalan Khairy selama ini untuk menentang salah laku rasuah dan penyelewengan pemerintah negara menunjukkan Ketua Pemuda Umno itu tidak sensitif dengan tekanan hidup yang dialami orang muda pada masa ini.
"Penindasan terhadap rakyat semakin ketara kerana bukan sahaja wang rakyat dirompak, malahan kesenjangan ekonomi di kalangan rakyat semakin melebar, yang kaya bertambah mewah dan yang miskin semakin susah.
"Rakyat yang menyokong demokrasi terus ditekan manakala yang menyokong kleptokrasi pula terus diberikan dedak. Ini terbukti dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa hanya peneroka Felda yang menyokong kerajaan sahaja akan diberikan bonus," bidasnya.
Mengulas kenyataan Khairy yang meminta Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang supaya berundur daripada politik, beliau menyifatkan itu sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Faiz, kenyataan tersebut cuba menanamkan persepsi negatif kepada golongan muda bahawa perjuangan menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa adalah agenda yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.

Sikap membisu Khairy terhadap salah laku jenayah Perdana Menteri dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jelasnya, amat menghairankan.
"Mustahil Khairy tidak mengetahui siasatan antarabangsa terhadap skandal 1MDB ini dimana pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Singapura telah bertindak sepertimana saman Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dan hukuman terhadap bank-bank dan pegawai bank oleh pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).
"Justeru, Khairy seharusnya bersuara bagi anak muda negara demi masa depan generasi akan datang supaya segala kepincangan yang berlaku dalam negara hari ini dapat dirawat.
"Generasi muda negara ini seharusnya mewarisi kekayaan dan kemakmuran dan bukannya beban hutang dan kehancuran," tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA