Isnin, 31 Julai 2017

Ketua Audit Negara: Hutang Pulau Pinang, Selangor terendah

Jumlah hutang ditanggung Pahang tertinggi iaitu RM1,087.93 juta, diikuti Kedah RM1,028.85 juta.
hutang-negara-juruaudit-malaysia Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan jumlah hutang kerajaan Pulau Pinang dan Selangor terendah berbanding 12 negeri lain.
Menurut laporan itu, Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang hutang tertunggak pada akhir tahun lalu, berbanding RM1.49 juta yang ditanggung pada akhir 2015.
Ia disusuli Selangor yang mempunyai hutang sebanyak RM14.67 juta, berbanding RM27.09 juta pada akhir 2015.
Bagaimanapun, hutang ditanggung Pahang meningkat dan merupakan jumlah tertinggi iaitu RM1,087.93 juta berbanding RM929.85 juta pada akhir 2015.
Ia diikuti Kedah yang mempunyai jumlah hutang ke-2 tertinggi, iaitu RM1,028.85 juta berbanding RM1,027.69 pada akhir 2015.
Secara keseluruhan, tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri di seluruh negara meningkat RM0.240 bilion tahun lalu, berbanding 2015.
Hutang kerajaan negeri secara keseluruhannya meningkat daripada RM3.985 bilion pada akhir 2015 kepada RM4.225 bilion pada akhir tahun lalu.
Peningkatan itu melibatkan pinjaman Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu.
Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Johor, Perak, Sarawak dan Selangor berkurangan.
Sebanyak RM0.482 bilion dibayar kerajaan negeri pada 2016.
Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan 353 syor bagi membantu kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan negeri memperbaiki kelemahan dilaporkan.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 2 syor terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2016, dengan 90 syor kepada aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan.
Sebanyak 17 syor kepada syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan dan 244 syor terhadap pengurusan aktiviti dan kewangan kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

1 ulasan:

  1. Ini satu alasan kenapa rakyat akan kekal kan kerajaan PH. Baik umno bn berubah ke arah mengutamakan kebajikan rakyat.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA