Khamis, 27 Julai 2017

Ketika pilihan raya makin hampir, pelabur mula risau ketidakstabilan Malaysia


Ketika pilihan raya makin hampir, pelabur mula risau ketidakstabilan Malaysia, kata laporan
Pasaran saham Malaysia yang dianggap pasaran saham paling lama kukuh dan berkembang akan teruji dengan pilihan raya yang semakin hampir. 
PELABUR akan mula mencari petanda ketidakstabilan Malaysia ketika khabar angin yang pilihan raya umum bakal di adakan tahun ini semakin bertiup kencang, lapor Bloomberg hari ini.
Laporan itu menyebut Malaysia mempunyai “pakatan paling lama memerintah” dan “ pasaran saham yang kukuh dan berkembang paling lama”, dengan Indeks KLCI FTSE Bursa Malaysia tahun ini mencecah 1,800 meningkat lebih dua kali ganda daripada catatan terendah pada 2008 sebanyak 800. Barisan Nasional (BN) pula memerintah negara sejak kemerdekaan pada 1957 yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara berlaku dengan pesat.
“Pastinya kami berhati-hati. Memang ada kemungkinan yang pasaran akan merudum selepas pilihan raya,” kata Geoffrey Ng dari Fortress Capital Asset Management.
Katanya lagi “mood pasaran saham masih lagi positif ”, dan pertikaian politik antara barisan pemerintah dan pembangkang nampaknya tidak akan menganggu momentum pasaran.
Mac lalu, kadar inflasi negara mencecah tahap tertinggi sejak lapan tahun lepas sebelum turun pada bulan berikutnya, dan pastinya peningkatan kos sara hidup akan menjadi tumpuan pengundi, menurut laporan itu.
Laporan itu turut memetik kajian Merdeka Center for Opinion Research yang menyebut sentimen pengguna yang semakin lemah sejak 2014 dan kekecewaan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang mula diperkenalkan pada 2015 masih lagi wujud. Bagi mengatasinya, kerajaan kini menumpukan kepada kebolehpasaran kerja golongan muda dan perumahan mampu milik.

Pembangkang turut bergelut untuk memecah masuk kubu kuat BN di luar bandar, malah turut bergelut di negeri paling padat dan kaya di Malaysia, Selangor, ujar laporan itu.
Manakala, kedudukan Perdana Menteri Najib Razak masih lagi kukuh walaupun berdepan dengan protes jalanan dan skandal korupsi pada 2015 disebabkan pembangkang yang berpecah belah dan sokongan daripada negeri yang mempunyai kuasa undi yang kuat seperti Sabah dan Sarawak.
“Mendapatkan mandat yang lebih kuat semasa pilihan raya akan datang- dengan sekurang-kurangnya meraih 222 kerusi Parlimen- boleh membantu menggerakan perubahan yang dilakukannya (Najib) bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara maju dan menambah baik kewangannya. Bagi pakatan pembangkang pula, ini adalah peluang untuk menjatuhkan rejim pemerintah yang mereka dakwa diselimuti rasuah dan yang memecahkan rakyat melalui politik perkauman dan agama,” kata laporan itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA