Khamis, 27 Julai 2017

Kerjasama hanya menguntungkan Arab Saudi sejak RM2.6 bilion

Naib presiden PKR itu mendakwa Arab Saudi menjadi agenda luar negara terpenting Malaysia sejak terbocornya maklumat tentang RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
rafizi-ramli_ringgit_600
Naib Presiden PKR Pandan Rafizi Ramli mendakwa Malaysia terpaksa menanggung kerugian dalam urusniaga dengan Arab Saudi sejak isu derma RM2.6 bilion didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadinya disumbangkan kerabat diraja Arab Saudi walaupun ada pihak mendakwa ia ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sejak bocornya maklumat tentang RM2.6 bilion, Arab Saudi menjadi agenda luar negara terpenting Malaysia.
“Malangnya dalam beberapa perkara berhubung kerjasama diplomatik dan pelaburan antara 2 negara, semua kerjasama ini menguntungkan Arab Saudi dan merugikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sidang media di Dewan Rakyat semalam, Rafizi berkata Syarikat Prasarana Malaysia Berhad bakal mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM142 juta dalam projek kereta api metro di Arab Saudi selepas jawapan bertulis menteri kewangan memaklumkan projek itu sudah pun membawa kerugian RM100 juta kepada Prasarana.
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi menamakan 2 lagi kerugian negara dalam hubungan dengan Arab Saudi, antaranya penyertaan tentera Malaysia dalam kempen ketenteraan Arab Saudi di Yaman.
Rafizi mendakwa, walaupun Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini berkata tujuan tentera Malaysia di sana lebih kepada latihan dan tidak keluar dari sempadan Arab Saudi, maklumat dari “tentera yang ditugaskan di sana” mengatakan negara menyediakan sokongan logistik kepada operasi.
“Berapa orang tentera yang masih berada di sana dan berapa kos yang ditanggung rakyat?” soalnya.
Rafizi turut membangkitkan pelaburan Saudi Arabian Oil Company (Aramco) dalam projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) Petronas di Pengerang, Johor yang didakwa membolehkan Aramco membeli bahan asas pada “harga yang merugikan Petronas”.

“Ada campur tangan yang membolehkan Aramco mendapat peratusan keuntungan lebih tinggi daripada yang ditawarkan Petronas pada mulanya yang diunjurkan mencecah berbilion ringgit dalam tempoh 10 tahun,” katanya, yang mendakwa mendapat maklumat itu daripada “pihak yang terlibat”.
Perjanjian usahasama bernilai RM31 bilion itu ditandatangani 28 Februari lalu ketika kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pada Januari 2016 membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkaitan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion itu.
Najib sebelum ini mendakwa wang tersebut adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi untuk jentera pilihan raya Umno pada 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA