Selasa, 11 Julai 2017

Kerajaan lemah atasi pengangguran graduan

OLEH AKMAL NASIR
Situasi semasa amat memeritkan bagi para graduan dan juga pelajar tahun akhir pengajian tinggi. Mengikut statistik dikeluarkan oleh Laporan Bank Negara 2016, kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding belia tanpa pendidikan tinggi iaitu 9.8 peratus pada tahun 2015.
Boleh dikatakan, ratusan ‘resume’ dan juga emel permohonan pekerjaan yang dihantar bagi setiap iklan peluang pekerjaan yang dikeluarkan oleh majikan.

PEKERJA 1Ribuan belia hadir pada setiap kali sesi pameran kerjaya, dengan harapan mereka ini akan ditawarkan pekerjaan secepat mungkin. Golongan ini sudah terikat dengan pelbagai komitmen seperti hutang pinjaman dan juga menyara keluarga.
Realitinya, ramai graduan yang menganggur untuk tempoh masa yang panjang. Peluang pekerjaan yang semakin menguncup disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa menyebabkan syarikat-syarikat dan organisasi mengurangkan pengambilan pekerjaan.
Sekiranya fenomena seperti ini dibiarkan berlaku tanpa penyelesaian, maka dalam tempoh lima tahun akan datang akan menyaksikan begitu ramai lambakan graduan akan terus menganggur tanpa diberi kesempatan untuk menimba pengalaman di alam kerjaya mereka.
Apakah langkah drastik Umno BN telah lakukan untuk mengatasi hal ini?
Kerajaan Umno BN pada hari ini hanya menganggap bahawa graduan perlu bekerja di sektor yang tiada kaitan dengan bidang pengajian tinggi yang diperoleh, sebagai alasan bahawa zaman ini adalah graduan tidak perlu memilih kerja. Graduan seolah-olah dipaksa untuk mengambil posisi pekerjaan yang berbeza dengan pendidikan yang dimilikinya.
Perkara ini tidak menyelamatkan masa depan graduan, apatah lagi mereka masih sukar untuk memohon pekerjaan yang sesuai setelah beberapa tahun menantikannya, memandangkan mereka tidak memiliki pengalaman yang berkaitan dengan bidang yang mereka mahukannya.
PEKERJALebih malang lagi, apabila sesetengah graduan yang ingin bekerja di sektor bukan profesional kini berputih mata akibat industri kini dikuasai oleh warga asing yang kini jumlahnya mencecah 6 juta orang.
Selain itu, taktik majikan kini adalah mengambil pelajar universiti untuk bekerja atas nama latihan industri atau “internship”, bagi membiayai elaun yang jauh lebih sedikit berbanding pengambilan pekerja biasa yang memerlukan gaji, dana persaraan dan perlindungan yang mahal.
Lantas jika Umno BN menyarankan graduan untuk menjadi usahawan, timbul pula persoalan bagaimana graduan-graduan ini hendak mendapatkan modal, dan yang paling penting adalah memiliki ilmu dan semangat untuk menceburi bidang ini.
Harus diingatkan bahawa kebanyakan bidang yang ditawarkan oleh universiti dan kolej tempatan adalah untuk melatih pelajar dan graduan menjadi “pekerja”.
Hanya segelintir sahaja yang memulakan perniagaan kecil-kecilan atau atas talian semasa sesi pengajian dijalankan.

Graduan-graduan yang pada mulanya dilatih untuk bekerja dalam industri – pada akhirnya hampa dengan ketiadaan pihak untuk membuka mata mereka mengenai keadaan realiti dalam alam pekerjaan.
Baru-baru ini, kerajaan Umno BN mengimplimentasikan satu program bernama Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang bertujuan untuk membantu graduan mendapatkan latihan dan juga platform untuk bekerja.
Ugutan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kegagalan mana-mana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk dapatkan kontrak projek sekiranya gagal melaksanakan SL1M jelas memperlihatkan kerajaan bergantung kepada GLC untuk cubaan mengurangkan kadar pengangguran yang semakin kritikal.
SL1MNamun hakikatnya SL1M tidak berjalan lancar seperti yang dicanangkan. Dengan tempoh latihan yang disediakan hanya sekitar 6 hingga 7 bulan, pelatih seolah-olah diberikan ‘ubat pelali’ seketika daripada kesakitan pengangguran dan kemudiannya akan menganggur semula.
Temubual saya dengan beberapa alumni SL1M menyatakan bahawa tidak semua pelatih akan diserap masuk ke dalam syarikat. Malah, terdapat beberapa GLC yang enggan mengiktiraf SL1M sebagai kredit untuk memasuki industri selepas selesai program.
Sesetengah latihan ditawarkan SL1M seperti kelas komunikasi bahasa inggeris seharusnya diwujudkan di institusi pengajian tinggi, pada fasa sebelum graduan dilahirkan dan mencari pekerjaan.
Tambahan pula, para pelatih hanya diberi elaun yang lebih sedikit berbanding pekerja biasa namun dipaksa melaksanakan tugas yang sama. Pelatih seolah-olah dieksploitasi untuk melaksanakan kerja biasa dengan bayaran upah yang lebih rendah.
Keadaan ini disebabkan SL1M telah dijadikan sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbanding dikira sebagai kos operasi. Pembiayaan SL1M melalui CSR mampu mengurangkan pembayaran cukai kepada kerajaan dan pada masa yang sama mengurangkan kos bayaran pekerja melalui pengeksplotasian pelatih.
Polisi yang dilaksanakan Umno BN kini terlalu lemah impaknya untuk mengatasi pengangguran graduan. Keadaan ini seharusnya tidak berlarutan, apatah lagi membiarkan anak muda terus merana disebabkan pentadbiran Umno BN yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan skandal yang menjerat rakyat.
Dengan tekad pimpinan muda Pakatan Harapan untuk mewujudkan semula pekerjaan, saya yakin perkara ini dapat diselesaikan melalui pakej “Bina Semula Negara” dengan menstruktur semula silibus universiti agar berorientasikan latihan dan keusahawanan, menarik pelaburan untuk membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan juga mengurangkan pengambilan pekerja asing dan peningkatan teknologi agar graduan juga mampu menceburi dalam bidang bukan profesional.
Ayuh bersama laksanakan perubahan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA