Rabu, 5 Julai 2017

Kerajaan Kelantan nafi terlibat kutip wang projek karbon


Ahmad Yakob
Kerajaan Kelantan tidak pernah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada mana-mana syarikat termasuk Syarikat Climate Protector Sdn Bhd untuk mengutip wang daripada orang ramai bagi melaksanakan projek perdagangan karbon di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sehubungan itu, sesiapa yang pernah membuat pembayaran berkaitan projek itu diminta membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.
"Ini kerana terdapat dakwaan bahawa kerajaan negeri mengutip wang haram dalam mengendalikan projek itu sebagaimana yang disebarkan pihak tertentu melalui media sosial," katanya sambil menafikan dakwaan it dalam satu kenyataan di  Kota Bharu hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa mendakwa kerajaan Kelantan meluluskan sejuta ekar (404,685 hektar) hutan simpan kekal kepada syarikat Climate Protector Sdn Bhd untuk pelaksanaan projek itu.
Husam turut mempersoalkan kelayakan syarikat itu untuk menguruskan perdagangan karbon dengan kerajaan negeri Kelantan yang didakwa tidak mendapat kelulusan Bank Negara untuk beroperasi.

Menjelaskan mengenai kerjasama dengan syarikat Climate Protector Sdn Bhd, Ahmad berkata pada 9 Januari lalu, kerajaan negeri menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat itu bagi mengenal pasti jumlah stok karbon di kawasan hutan seluas satu juta ekar itu.
Beliau berkata syarikat terbabit diberi tempoh dua tahun untuk melakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh saintis bertauliah bagi tujuan itu.
Menteri Besar berkata projek itu adalah baik kerana ia menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti penyahutanan dan kemerosotan hutan.
Beliau berkata inisiatif itu juga dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Kelantan yang berfungsi dalam mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan keberkekalan kepelbagaian biologi.

"Secara tidak langsung inisiatif program ini dapat memberi pulangan hasil kepada pembangunan negeri Kelantan," katanya.
Menurutnya, syarikat terbabit juga sudah menyatakan akan memberi penerangan kepada orang ramai dalam masa terdekat dan berharap isu yang timbul dapat diperjelaskan.
Ahmad berkata dalam tempoh kajian dan semakan semula ini juga, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan yang berwibawa ke atas perjalanan urus niaga yang akan dilaksanakan oleh syarikat bagi memastikan ia sah dari segi perundangan tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek berkenaan selain mengambil kira pandangan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA