Isnin, 31 Julai 2017

Kerajaan alami defisit RM38.4 bilion pada 2016, kata Ketua Audit Negara


Kerajaan alami defisit RM38.4 bilion pada 2016, kata Ketua Audit Negara
KERAJAAN mengalami defisit berjumlah RM38.400 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada paras 3.12 peratus.
“Defisit tersebut ditampung dengan pinjaman dalam negeri dan luar negeri yang berjumlah RM99.859 bilion. Selain daripada membiayai perbelanjaan pembangunan, pinjaman ini juga digunakan untuk membayar balik hutang dan membiayai Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan,” menurut laporan tersebut.
Selain itu juga, pengauditan pengurusan kewangan yang dijalankan di kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan mendapati prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan bagi 2016 berbanding dua tahun sebelumnya.
Pada 2016, semua 25 kementerian mencapai tahap cemerlang berbanding 16 dan 20 daripada 25 kementerian pada 2015, dan 24 kementerian pada 2014.
Prestasi pengurusan kewangan di jabatan persekutuan yang diaudit secara tahunan pula menunjukkan peningkatan di mana 16 jabatan mencapai tahap cemerlang dan dua di tahap baik.
Bagi prestasi pengurusan kewangan badan berkanun persekutuan yang diaudit secara pusingan tiga tahun sekali menunjukkan 16 berada pada tahap cemerlang, 19 pada tahap baik dan tiga pada tahap memuaskan.
Pengauditan pengurusan kewangan yang dijalankan di kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan itu bertujuan menilai sama ada pengurusan kewangan mereka telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.
Menurut laporan itu, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan pengurusan kewangan di 25 kementerian,18 jabatan persekutuan yang diaudit secara tahunan dan 38 badan berkanun persekutuan yang diaudit secara pusingan tiga tahun.

Pengauditan juga dijalankan di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Ibu Pejabat dan 15 JBS Negeri serta 13 Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial Negeri di seluruh negara, menurut laporan itu.
Selain itu, pengauditan juga dijalankan di enam pejabat perwakilan Malaysia di luar negara di bawah Kementerian Luar Negeri dan tujuh Pejabat Perwakilan Badan Berkanun Persekutuan di luar negara.
Selain daripada menjalankan pengauditan bagi memenuhi kehendak undang-undang, Jabatan Audit Negara melaksanakan penilaian khas terhadap prestasi pengurusan kewangan  Kementerian/Jabatan/Agensi di bawah kawalan Ketua Jabatan yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam yang melibatkan 63 Ketua Jabatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA