Jumaat, 14 Julai 2017

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan

Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Dato Sri Najib Tun Razak.  Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:
1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Tun Razak;
2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;
3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;
4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;
5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan
6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:

Ketua Umum:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
YAB Lim Guan Eng
Tuan Haji Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Tuan Haji Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah

Bendahari:
YB M. Kula Segaran
 
Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.

Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.


Ditandatangani oleh:

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

YB Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP

YBhg Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA