Jumaat, 7 Julai 2017

Kenapa PAS tidak peduli masalah kleptokrasi 1MDB?

SHAH ALAM, 6 JUL: PAS seharusnya bimbang tentang masalah kleptokrasi dan skandal 1MDB dan bukannya hal ehwal dalaman Pakatan Harapan, kata Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer.
Katanya, skandal yang berlaku di bawah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja telah memalukan negara di peringkat antarabangsa, malah telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prestasi ekonomi negara.
“Pendirian PAS yang tidak mempedulikan akan kleptokrasi 1MDB di mana skandal penyelewengan tersebut yang mendapat perhatian dunia dan melanggar beberapa undang-undang kewangan negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Tindakan undang-undang diambil mengikut negara masing-masing bukannya bermaksud ‘campurtangan asing’ seperti yang didakwa oleh PAS dan BN. Ini adalah isu yang benar dan sahih yang sedang berlaku dan amat memalukan bagi negara kita.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang mempersoalkan sokongan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan.
“Apa salahnya Kit Siang memberikan cadangan sebegitu? Apa yang PAS risaukan? Kenapa PAS tidak menunjukkan kerisauan terhadap isu kleptokrasi 1MDB di bawah pentadbiran BN?
“Bukankah isu ini lebih lebih genting berbanding isu lain? Siapakah Mohd Akmal untuk mencabar dan melenting Kit Siang yang lebih berpengalaman dan lebih bijaksana dalam percaturan politik?” soal Shakir.
Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut melahirkan kekecewaan terhadap sikap PAS yang sejak akhir-akhir ini semakin mengikut rentak dan skrip UMNO sehingga dilihat seolah mempertahankan penyelewengan parti pemerintah itu.
“PAS harus sedar diri sendiri dan tepuk dada tanya selera akan pendirian mereka mengenai hala tuju politik di negara kita di bawah BN yang kleptokrat dan zalim jika mereka hendak menjadi relevan di dalam politik tanah air.
“Persoalannya sekarang, adakah PAS tidak menghiraukan isu-isu penyelewengan yang merugikan di negara sendiri?” katanya.

1 ulasan:

  1. PAS memerlukan 4 orang saksi islam baligh yg adil untuk mempercayai bahawa isu 1mdb bukannya isu campur tangan asing.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA