Jumaat, 28 Julai 2017

Kempen media jatuhkan Dr Mahathir sasar pengundi atas pagar Melayu


Kempen media jatuhkan Dr Mahathir sasar pengundi atas pagar Melayu
Wujud ketakutan sebenar yang Dr Mahathir akan menjauhkan orang Melayu luar bandar daripada Umno sehingga wujud serangan berterusan untuk menjatuhkan beliau, kata penganalisis.
DALAM  serangan berterusan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad untuk mengubah pandangan awam, kumpulan media milik kerajaan kini menyasarkan pengundi Melayu atas pagar.
Akhbar dan televisyen yang mempunyai hubungan dengan parti pemerintah Umno kini sedang berusaha mengingatkan pengundi tentang kontroversi yang pernah berlaku sepanjang pemerintahan Dr Mahathir selama 30 tahun, daripada manipulasi harga timah sehinggalah kepada skandal perdagangan wang asing yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.
Tahap dan kadar serangan itu yang sebelum ini hanya digunakan untuk pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, kini mempunyai sasaran baru, bekas perdana menteri keempat Malaysia.
Profesor Pengajian Media dan Komunikasi, Zaharom Nain dari Notthingham University percaya serangan ini mencerminkan ketakutan Umno dan Barisan Nasional (BN) tentang pengaruh Dr Mahathir yang semakin meluas.
“Pandangan awam masih lagi berubah.
“Ada ketakutan sebenar yang Dr Mahathir akan mengubah sentimen orang Melayu akar umbi, termasuklah di kawasan luar bandar Melayu yang sangat bernilai (undinya),” kata Zaharom kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, Zaharom mengakui yang perkara ini tidak akan dapat disahkan sehingga wujud kajian mengenai pelbagai segmen rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Saya kira persoalan yang lebih penting adalah: Adakah serangan bertubi-tubi media kepada Dr Mahathir mencerminkan yang ahli politik berusia 92 tahun ini sedang menjauhkan rakyat daripada Umno?”
Serangan media yang melaporkan kisah projek mega yang muflis, kroni politik dan kerugian berbilion ringgit dalam skandal ketika beliau menjadi perdana menteri sejak 1981 sehingga 2003, adalah untuk mempengaruhi pandangan orang Melayu yang membentuk separuh daripada 32 juta populasi negara, kata penganalisis.
“Tidak mengejutkan yang serangan media arus perdana kebelakangan ini tertumpu kepada Dr Mahathir, yang parti pimpinannya baru sahaja menyertai pakatan pembangkang,” kata Mustafa K Anuar, penganalisis media dan felo seksyen kajian Melayu Penang Institute.
“Dr Mahathir kini sedang memimpin PH, pakatan yang cuba menerjah masuk ke dalam kawasan luar bandar Melayu di mana media, seperti Utusan Malaysia dan TV3 mudah diakses.”

“Dalam konteks ini, kisah tuduhan salah urus Dr Mahathir boleh mempengaruhi kelompok tertentu di kawasan luar bandar Melayu,” kata Mustafa.
Segmen berita waktu puncak TV3, Buletin Utama mempunyai jumlah purata tontonan 2.2 juta orang pada suku pertama 2017, menurut laman sesawang Media Prima Bhd.
Akhbar Utusan Malaysia pula mempunyai purata edaran 123,575 pada enam bulan kedua 2016, menurut Biro Audit Edaran Malaysia (ABC).
Media Prima ialah syarikat tersenarai di bursa saham yang mempunyai hubungan dengan kerajaan, juga memiliki 8TV, NTV7 dan TV9 serta tiga akhbar utama negara, The New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.
Manakala, 49.77 peratus kepentingan dalam Utusan Melayu (M) Bhd yang menerbitkan Utusan Malaysia pula, dimiliki Umno atau syarikat berkaitan parti itu, menurut laporan tahunan syarikat pada 2012.
Mustafa menyifatkan berita yang menyerang Dr Mahathir, terutama sekali peranannya dalam kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam perdagangan forex hampir 30 tahun lepas sebagai "berita terpilih".
Minggu lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) yang dipengerusikan Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan yang akan menyiasat skandal perdagangan forex bernilai bilion ringgit melibatkan Bank Negara sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.
“Mana-mana organisasi media yang baik perlu teruja (untuk melaporkan) salah urus kewangan dan kepincangan urus tadbir kerajaan. Tetapi keterujaan kewartawanan ini tidak boleh terpilih.
“Sekiranya ada kebimbangan tentang kerugian forex yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir, media arus perdana juga sewajarnya memberikan tumpuan saksama, kalaupun tidak lebih, kepada skandal 1MDB. Tetapi sehingga sekarang mereka lebih banyak berdiam diri tentang skandal 1MDB,” kata Mustafa.
Mustafa tidak menjangkakan pengundi kelas menengah yang mempunyai akses mudah kepada media alternatif yang tidak tersekat akan “terpengaruh dengan kisah forex dan tumpuan meraih undi mereka tidak wujud".
“Tambahan pula, kebanyakkan daripada mereka sudah memutuskan siapa yang mereka akan undi,”  katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA