Rabu, 12 Julai 2017

Keluarga miskin bandar Selangor bergelut penuhi tuntutan hidup


Keluarga miskin bandar Selangor bergelut penuhi tuntutan hidup
Suriani hanya mempunyai sebuah motosikal sebagai pengangkutan utama keluarganya.
WALAU hidup serba kekurangan, namun senyuman dan tawa tidak pernah lekang dibibir mereka.
Bergelut mencari rezeki menyara anak yang ramai, keluarga miskin bandar ini akui bukan mudah untuk memenuhi tuntutan hidup.
Dua keluarga miskin bandar berpendapatan bawah RM3,000 yang ditemui The Malaysian Insight berkongsi kepayahan hidup mereka tinggal di negeri terkaya di Malaysia.
Menyara enam anak dengan pendapatan kurang daripada RM2,000, Suriani Aziera, 31 dan suami Mohd Fairus Yusof, 40 tekad membesarkan anak yang berusia dari 3 hingga 17 tahun dengan kos sara hidup yang tinggi.
Suriani menjaga kesemua anaknya sementara suami yang bekerja sebagai kelindan lori sering bekerja di  luar kawasan dan jarang berada di rumah.
Tinggal dirumah pusaka di Kampung Batu Muda Gombak, keluarga lapan beranak ini hanya mempunyai sebuah motosikal sebagai kenderaan utama.
"Inilah motor buruk kami yang kami gunakan untuk kemana-mana. Berangkut ke sana-sini. Saya tiada lesen memandu tapi saya beranikan diri kerana tiada pilihan.
"Ada polis tahan saya, tetapi mereka lepaskan sebab mereka faham saya orang susah," katanya dengan mata yang bergenang.
'Mengemis' kerana kesempitan hidup 
Berkahwin di usia 14 tahun, Suriani akui tidak mempunyai pendidikan tinggi. Namun, beliau yang pernah bekerja sebagai jurujual itu melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan.
Pernah dihina masyarakat kerana sering meminta bantuan, wanita berkulit sawo matang itu terus bertahan demi anak-anak.
"Ada pernah hina saya kerana meminta tapi saya buat untuk bagi anak-anak makan. Merekalah harta saya. Saya kalau pandai meniaga saya sudah buat tapi saya tidak reti buat kuih pun. Apa yang saya buat, selain suami beri duit belanja, saya ke sana sini untuk dapatkan bantuan.
"Saya pergi ke masjid Cheras, saya dapatkan bantuan daripada NGO, Soup Kitchen..ada juga orang kaya yang bantu kami," katanya lagi.
Setiap malam tujuh beranak itu akan ke Kuala Lumpur mengambil bantuan makanan, susu dan lampin bayi.
Anak-anak Suriani juga mendapat kelas agama secara percuma yang diberikan badan kebajikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Julai, 2017.
Anak-anak Suriani juga mendapat kelas agama secara percuma 
yang diberikan badan kebajikan.
Sukar cari kerja, jana pendapatan
Mengakui tidak berpendidikan tinggi, Suriani hanya boleh berniaga kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan.
Sukar bagi dirinya yang mempunyai anak ramai mencari kerja yang sesuai.
"Saya kena jaga anak. Mereka masih kecil, jadi suami saya yang kerja. Saya ada meniaga sikit-sikit macam jual Avon," katan Suriani.

Anak sulungnya Dayang Syaheera, 17, tidak bersekolah dengan niat membantu menjaga adik-adik dan sedang memohon kerja di pasaraya.
"Dari tahun lepas lagi saya tidak bersekolah. Dulu jaga nenek saya dan kini saya rasa perlu kerja untuk bantu emak tambah pendapatan.
"Ini tengah tunggu panggilan untuk kemasukan kerja. Harap saya dapat kerja secepat mungkin," kata anak gadis itu kepada The Malaysian Insight.
Kini, hanya tiga daripada enam anak Suriani bersekolah di sekolah rendah kebangsaan.
Keluarga lapan beranak ini adalah di antara penerima zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.
Duit berkenaan digunakan bersama gaji suaminya berjumlah RM1200 untuk menanggung kos bulanan keluarga.

Pada 2 Jun lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendedahkan bilangan keluarga fakir dan miskin bertambah sebanyak 2,207 iaitu daripada 44,393 pada 2015 kepada 46,500 pada 2016.
Menurut badan agama itu, bebanan kos sara hidup yang tinggi menjadi faktor utama. Pemberhentian pekerja secara beramai-ramai ekoran pihak majikan ingin menurunkan kos operasi juga menjadi penyebab.
Kos sara hidup tinggi punca keluarga jatuh miskin
Sebuah lagi keluarga di Gombak menceritakan kesusahan hidup tujuh beranak yang memuncak sejak enam tahun lalu.
Nurulazila Ismail Ista, 39, mempunyai enam anak terpaksa berhenti kerja selepas melahirkan anak bongsunya.
Bergelar ibu tunggal, Nurul pernah berada di zaman kemiskinan kerana kos hidup yang tinggi.
"Saya pernah lalui saat makanan saya dan anak-anak terpaksa dicatu, kami menyewa di rumah flat dan tiada kenderaan.
"Selepas bersalin, saya nekad berhenti kerja sebagai kerani bank dan bekerja sebagai guru pusat tuisyen kerana waktu lebih fleksibel dengan anak-anak dan pendapatan lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, gaji sebanyak RM1300 sebagai kerani tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan anaknya.
"Saya jadi guru tusyen ada pasang surutnya tetapi saya perlu bekerja keras untuk bayar sewa rumah dan sara anak-anak.
"Saya masih teringat dahulu, betapa susahnya kami. Pampers mahal, susu mahal dan kos hidup tinggi. Anak bongsu saya hanya minum susu manis," kata Nurul yang kini memperolehi pendapatan RM3,000 sebulan.
Kini keenam-enam anaknya sedang bersekolah termasuk dua di sekolah tahfiz swasta di Perak.
Selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM1,000 sebulan, Nurul juga perlu membayar ansuran bulanan kereta sebanyak RM400. Selain itu, beliau menerima RM500 wang zakat dan wang nafkah anak daripada bekas suami.
"Alhamdulillah, saya dapat wang zakat tapi memang tidak cukup. Mujur juga ada rumah kebajikan yang saya daftar banyak beri saya bantuan," katanya lagi.
Rumah Kasih Nurul Hasanah yang berpusat di Ampang katanya, sering memberi bantuan persekolahan dan membuat program lawatan berunsur pendidikan.
Nurulazila Ismail Ista, 39 bersama 4 daripada 6 anaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Julai, 2017.
Nurulazila Ismail Ista, 39 bersama 4 daripada 6 anaknya.
Sediakan masa depan cerah untuk anak-anak
Bagi Nurul, anak adalah harta dunia akhirat maka amat penting untuk memberikan pendidikan kepada mereka.
"Prinsip saya, susah mana pun kita, jangan abaikan pendidikan anak-anak tapi saya tidak menekan anak saya. Mereka buat yang termampu.
"Kita sudah kurang bernasib baik. Jadi masa depan anak kita janganlah lebih teruk daripada kita. Bekalkan mereka dengan pendidikan.
"Jangan biarkan anak keciciran dalam pelajaran. Masa depan mereka perlu lagi cerah daripada kita. Saya tidaklah berharta dan kaya, tetapi saya syukur ada anak-anak menjadi pemberi semangat untuk saya terus hidup.
"Memegang status ibu tunggal memang sukar tetapi kita kena usaha dan bekerja keras," kata Nurul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA