Jumaat, 21 Julai 2017

Keinginan kepada perubahan menyatukan PH, kata Nurul Izzah

Keinginan kepada perubahan menyatukan PH, kata Nurul Izzah
Nurul Izzah berkata Dr Mahathir bekerja keras meyakinkan rakyat untuk menggulingkan Barisan Nasional. 
PEMBANGKANG perlu menjadi inklusif dalam usahanya untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sambil menambah pelantikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang pemimpin utama membantu menyampaikan mesej mereka.
Beliau berkata, benteng kepada sebarang kemungkinan terjejasnya agenda Pakatan Harapan (PH) ialah pembaharuan ikrar yang menyatukan pengerusi, ketua umum dan keseluruhan struktur gabungan itu.
"Peringatan yang paling besar kepada rakyat Malaysia adalah bagaimana kerajaan kleptokrat ini berada di bawah pimpinan Najib Razak. Jadi, kita harus membuktikan janji kita sama seperti Dr Mahathir.
"Dia perlu membuktikan kata-kata dengan tindakan dan setakat ini saya sangat gembira kerana dia bekerja keras untuk meyakinkan ramai orang betapa perlunya untuk menggulingkan bukan sahaja Najib tetapi sistem itu," katanya ketika melawat PPR Kg Muhibbah di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu diminta memberi komen mengenai kesan pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH, berikutan kebimbangan pembangkang mungkin perlu menjawab skandal-skandal yang dikatakan dilakukan Dr Mahathir termasuk kerugian forex.
Dr Mahathir dan seteru lamanya Anwar Ibrahim berganding untuk menggulingkan Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berkongsi tanggungjawab memimpin gabungan itu dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai presiden.

"Saya tidak perlu mengulas mengenai pelbagai pandangan, yang penting adalah apa yang menyatukan kami dan kami semua mempunyai pandangan egalitarian (memegang prinsip hak sama untuk semua) tentang bagaimana urusan dalam PH dibuat.
"Saya tidak berada dalam struktur teratas tetapi saya tidak mempunyai masalah atau tidak ada keraguan yang memastikan suara saya didengar dengan jelas terutamanya berkaitan dengan peringatan mengenai pembaharuan ikrar.
Beliau berkata kenyataan terbaru Dr Mahathir mengatakan tidak kisah digelar boneka merupakan cara yang baik untuk menutup mulut orang daripada bertanya soalan yang sama.
"Ini satu perkembangan penting, kami perlu sampaikan suara kami dan tidak penting siapa penyampai itu kerana yang paling utama adalah pembaharuan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA