Selasa, 25 Julai 2017

JAWAB DENGAN HUJAH, BUKAN TUMBUKAN, KATA SYED SADDIQ PADA UMNO


UMNO sepatutnya jawab jemputan forum Nothing To Hide 2.0 melalui hujah, bukan dengan tumbukan, kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Sayed Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kekecohan tercetus ketika ahli Pemuda Bersatu menghantar jemputan forum itu kepada Perdana Menteri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.
“Budaya samseng dalam Umno berpisah tiada dan sudah sebati. Sebab itu mereka takut hendak jawab persoalan dengan hujah.
“Takut sangat berdebat sebab jawapan mereka sentiasa saja dengan tumbukan dan cemuhan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Kekecohan berlaku apabila ahli Pemuda Bersatu dihalang sekumpulan Pemuda Umno di PWTC hari ini untuk menyampaikan jemputan itu.
Malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ashraf Mustaqim didakwa ditumbuk dalam insiden itu
“Jangan jawab dengan tumbukan, jawab dengan hujah. Kita jumpa di Nothing To Hide 2.0,” kata Syed Saddiq.
Forum anjuran Bersatu itu akan diadakan pada 13 Ogos bagi menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat.
Ia dijangka membabitkan Najib dan pengkritik tegarnya Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA