Khamis, 20 Julai 2017

‘Jangan terlalu teruja, pelaburan China perlu diteliti rapi’

Institut Penyelidikan CIMB Asean berkata, Malaysia tidak boleh teruja dengan saiz inisiatif BRI dan hanya memikirkan manfaatnya.
Munir-Majid-Road-Initiatives-china-1
PETALING JAYA: Institut Penyelidikan CIMB Asean (Cari) memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak terlalu teruja dengan inisiatif “One Belt One Road” (BRI) akan memberi manfaat secara automatik.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Majid yang dipetik The Edge sebaliknya menasihatkan kerajaan meneliti pelaburan yang dicadangkan di bawah BRI dengan rapi demi kepentingan negara.
“Kita tidak boleh terlalu teruja dengan saiz BRI semata-mata dan berfikir perkara baik seperti itu akan berlaku secara automatik.
“Kita mesti melihat bahagian mana yang berguna untuk Malaysia dan Asean,” katanya di luar mesyuarat “Inisiatif BRI di Asean: Peluang Ekonomi dan Pemusatan Asean” di Kuala Lumpur, semalam.
Munir berkata, Asean juga perlu mengekalkan kekuatan sendiri dalam kerjasama apabila berurusan dengan rakan dialog luar, termasuk dalam perbincangan dengan China berhubung BRI.
Beliau turut menggesa Asean memastikan prinsipnya tetap menjadi daya penggerak ke arah keuntungan ekonomi yang boleh dicapai di bawah BRI China.
“China menunjukkan kerelaan dalam membantu rantau ini berkembang melalui pelbagai pelaburan dan sokongan. Bagaimanapun, Asean perlu memastikan faedah ekonomi tidak melebihi pemusatan.
“BRI juga perlu inklusif dengan melibatkan PKS tempatan dalam jangka pendek dan sederhana untuk memastikan hubungan 2 hala berpanjangan,” katanya.
Mesyuarat meja bulat anjuran Cari itu diadakan dengan kerjasama Kelab Perniagaan Asean.
Malaysia mendapat perhatian signifikan ketika Forum Belt and Road untuk Kerjasama Antarabangsa di Beijing, pada Mei lalu, apabila Presiden China, Xi Jinping memilih Malaysia untuk sokongan awal BRI, dengan menyatakan Malaysia akan menjadi salah sebuah negara yang paling bermanfaat daripadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA