Rabu, 19 Julai 2017

‘Jangan terlalu sensitif jentera PAS di Permatang Pauh’ - Sembang PAS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan dakwaan bahawa pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Permatang Pauh sebagai satu tindakan provokasi dan angkuh.
“Tak berbangkit la pasal semua tempat kita buat (melancarkan jentera pilihan raya),” katanya kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang meluahkan rasa kesalnya bahawa bekas sekutunya melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh pada hujung minggu lalu.
Tian Chua berkata bahawa program itu "satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan rejim Umno-BN.”
Idris, bagaimanapun, percaya bahawa apa yang berlaku adalah sekadar interpretasi, sambil menambah bahawa seseorang itu berhak membuat kesimpulan masing-masing.
“Itu soal interpretasi, biasa sahaja, macam juga ada dia orang lancar (jentera) DAP dan Pakatan Harapan di DUN Templer (Park), itu kawasan exco kita.
“Tak bangkit pun, tak ada masalah pun, buatlah,” katanya.
Idris, Ahad lalu, melancarkan program PAS dan berkata, parti itu telah mula menggerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.
“Tempat saya pun dah lancar, (Datuk) Mustafa Ali lancar di Bukit Gantang. Semua tempat kita lancar.
“Seluruh Malaysia kita lancar, biasa la tu.
“Kita nak sertai pilihan raya jadi semua tempat la. Di peringkat negeri kita buat, di peringkat parlimen kita buat, dan ini peringkat DUN pula” katanya.
Mengenai sama ada PAS turut melancarkan jenteranya di Pulau Pinang, Idris berkata beliau tidak mempunyai butirannya kerana beliau hanya melancarkan jentera parti di kawasan di mana beliau dijemput untuk berbuat demikian.
Idris juga berpandangan bahawa pilihan raya "masih lambat lagi" ketika disoal kenyataan Tian Chua yang berkata bahawa tindakan PAS akan dilihat sebagai parti-parti pembangkang bercakaran sesama sendiri.
Beliau juga berkata bahawa PAS belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding di Permatang Pauh atau sebaliknya.
“Belum tahu lagi. Saya pun belum tentu bertanding lagi.
“Kita dalam parti (PAS) ini bukan nak... siapa nak bertanding, siapa PM, exco. Yang penting kita lawan Umno, BN,” katanya.

Meskipun Idris berkata PAS masih belum membuat keputusan untuk bertanding di Permatang Pauh, Ketua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan dipetik oleh sebuah portal bahawa parti itu akan bertanding di kerusi berkenaan serta tiga kerusi DUN di sana.
Permatang Pauh adalah kubu bekas pemimpin pembangkang dan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerusi itu kini dipegang oleh isteri Anwar dan presiden PKR, datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PAS, dua bulan lalu, memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR, yang kini menjadi ahli gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dengan ketiadaan kerjasama dengan PKR, PAS dijangka bertanding di kerusi PKR yang akhirnya akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru.

1 ulasan:

  1. Deris, ya pun nk buat plancaran tmpt mengundi, jgn la dok menghukum pihak lain dgn tidak mengundi pas akn berdosa.
    Deris ni pun satu, ckp bolak blik. Lwn umno, lwn umno tapi bagai nk giler sokong umno sbb umno ada duit, sbb umno ada cash...
    Sudahla Deris...pimpinan pas serupa je. Ahli bwh ko perkotak-katik mintak sokongan...baiah la... wala la...sama je dgn hadi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA