Ahad, 30 Julai 2017

'Jangan fikir ahli politik boleh tidur lena' - SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menasihati semua parti politik supaya meletakkan calon bebas daripada rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan bertindak agresif terhadap ahli-ahli politik yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa hanya selepas berakhirnya pilihan raya.
“Saya suka menasihatkan semua parti-parti politik agar memilih calon-calon pilihan raya yang benar-benar bersih dan tidak dicemari dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Jika berdegil juga, kesannya pasti pahit untuk ditelan. Saya belum lagi memungkiri janji saya. Jika tidak percaya, saya persilakan mana-mana parti politik untuk mengabaikan amaran saya ini,” kata Dzulkifli dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia.
Kata Dzulkifli, pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik sebelum PRU14 kerana tidak mahu dijadikan alat atau modal kempen oleh parti-parti politik.
“Namun demikian jangan pula hanya kerana kenyataan saya ini maka ahli-ahli politik fikir SPRM akan tidur lena dan mereka pula bebas untuk terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa sewenang-wenangnya.
“Sekiranya didapati kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ini begitu jelas dilakukan dengan bukti mencukupi maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Sementara itu Dzulkifli ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang sering tidak berpuas hati dengan SPRM berkata beliau tidak terusik dengan sebarang kritikan malah sangat terbuka menerima pandangan yang diberikan secara jujur.
“Oleh itu saya tidak berasa terusik, terganggu atau terkesan dengan serangan-serangan yang beragendakan politik murahan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA