Isnin, 24 Julai 2017

Jamal Yunos bukan liabiliti, ampu ketua puteri Umno

Mas Erimiyati Samsudin hari ini mempertahankan Jamal Yunos yang digambarkan sebagai seorang pemimpin yang banyak menolong dan bertimbang rasa.
Mas-Ermieyati-Samsudin-jamal-yunos-umno-melayuKUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin hari ini mempertahankan Datuk Jamal Yunos dan berkata ahli politik yang bercita-cita bertanding jawatan ketua pemuda Umno itu tidak memudaratkan parti.
Sebaliknya, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu disifatkan sebagai seorang pemimpin akar umbi yang banyak menolong dan bertimbang rasa.
“Itu Jamal Yunos yang saya kenali. Jadi, beliau bukan liabiliti…Saya nampak peranannya dalam pilihan raya kecil Sungai Besar (Jun 2016) dan bagaimana dia menggerakkan jentera parti. Ia sangat berkesan,” katanya pada sidang media di sini ahri ini selepas pelancaran Persidangan Pelancongan Islam Sedunia hari ini.
Beliau ditanya sama ada Jamal memudaratkan parti dengan aksi dan telatah yang pernah dilakukan sebelum ini sehingga pernah ditegur Sultan Selangor.
Gimik terbaharu menyaksikan beliau dan penyokong membawa kadbod Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menaiki Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang 21 Julai lalu.
“Mock-up” itu tertera: “TQ PM kerana menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh.”
Wan Azizah merupakan Adun Kajang, manakala Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh.

Mengenai aspirasi Jamal untuk bertanding jawatan ketua pemuda, Mas Ermieyati berkata mana-mana individu yang layak boleh bertanding jawatan itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan pemilihan parti bukan keutamaan ketika ini kerana tumpuan kepada mengukuhkan jentera parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Jamal Yunos mahu bertanding jawatan itu. Bagi saya, sesiapa sahaja boleh bertanding. Kalau kamu layak, boleh bertanding, tetapi itu bukan keutamaan sekarang ini,” katanya.
Pada 9 Julai lepas, Jamal mengumumkan hasrat mengetuai Pemuda Umno selepas Khairy Jamaluddin berhasrat melepaskan jawatan ketua pemuda.
Jamal akan menimbangkan pilihan itu sekiranya beliau tidak terpilih sebagai calon untuk kerusi Parlimen atau DUN pada PRU-14.
Setakat ini, hasrat itu mendapat sokongan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA