Ahad, 23 Julai 2017

Jamal tunjuk bukti layak jadi ketua pemuda

Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menayangkan siri slaid memaparkan pelbagai kejayaannya sebagai bukti kelayakannya mencalonkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno untuk menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pada tayangan video tersebut, Ketua Umno Sungai Besar itu memperlihatkan kepada perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Pandan perjalanan hidupnya sehingga menjadi ahli politik berjaya.
Bermula dengan kerja makan gaji, bergelar pemilik syarikat pengimport dan penjual kenderaan import baru serta terpakai, membuka perniagaan menjual burger di sekitar Bandar Baru Sentul hinggalah mengusahakan Restoran Sekinchan Ikan Bakar.
Berdasarkan video itu juga, Jamal berkata, tidak timbul lagi isu kelayakan akademik mahu pun latar belakang pendidikan beliau yang dipertanyakan untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno.
Tegas Jamal, kejayaan beliau hari ini sudah jelas membuktikan kelayakannya menggantikan Khairy.
"Saya juga ada kelayakan saya. Lihat saja pada tayangan video sebentar tadi.
"Soal kelayakan, soal pendidikan, soal kebolehan, masing-masing ada kelebihan," kata Jamal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Pandan di Ampang, hari ini.
Jamal pada Jumaat disoal apakah kelayakan akademik beliau berbanding Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, namun meminta media menunggu hari ini untuk mengumumkannya.
Jamal ketika berucap dalam majlis perasmian mesyuarat Pemuda Umno Sungai Besar di Dewan Umno Sungai Besar sebelum ini meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy jika jawatan itu kosong selepas pilihan raya umum akan datang.
Diminta mengulas bagaimana beliau mahu mengetuai pergerakan Pemuda Umno, Jamal berkata ia bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang.
"Terlalu awal untuk saya memperincikan apakah yang akan saya lakukan.
"Pada saya bagaimana nak ketuai Pemuda bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang, apa pun niat, cadangan dan harapan ia mungkin boleh berubah dengan keputusan pilihan raya akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Jamal berkata segala kempen untuk beliau menjadi calon akan dimulakan sebaik sahaja usaha memenangkan BN di Selangor tercapai.
"Insya-Allah dalam masa terdekat, enam, tujuh bulan mungkin akan berlakunya pilihan raya dan selepas itu barulah saya akan menggerakkan jentera untuk memastikan niat saya untuk menjadi calon Ketua Pemuda Umno Malaysia tercapai.
"Tapi pada waktu sekarang ini kita fokus untuk memenangkan kawasan saya sendiri dan membantu Tan Sri Noh Omar memenangkan BN Selangor daripada Pakatan Harapan," kata Jamal.
Mengulas mengenai siapakah calon yang layak bagi memegang jawatan Ketua Pemuda Umno itu selain beliau, ini jawab Jamal:
"Siapa pun boleh tanding tetapi yang paling mustahak, niat di dalam hati.
"Saya telah pun membuktikan bahawa saya bukanlah tergila-gilakan jawatan.
"Kalau saya gilakan jawatan, ketika pilihan raya kecil (Sungai Besar) lepas saya sudah menjadi calon dan sekarang ini saya telah pun bergelar YB," tegas Jamal.

3 ulasan:

  1. LESEN KELAS E PUNUH ADA TAK??

    BalasPadam
  2. Donald trump boleh menang. Tak kan jamal tak boleh? Bila pula umno letak syarat kpd sijil akademik untuk jadi pemimpin umno?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA