Selasa, 18 Julai 2017

Jadi menteri pun Kit Siang tak mahu, apatah lagi jadi PM – Tun Mahathir

SHAH ALAM, 18 JUL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menerajui negara sebagai perdana menteri seperti yang dituduh mesin propaganda UMNO-Barisan Nasional (BN).
Pengakuan itu diperkuatkan lagi dengan pendedahan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Ahli Parlimen Gelang Patah itu pernah menolak jawatan menteri yang ditawarkan semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak.
Malah, DAP ketika itu juga, katanya, pernah dipelawa untuk menyertai BN.
“(Datuk Seri) Najib (Razak) kata kalau UMNO jatuh, Kit Siang jadi perdana menteri. Sebenarnya, Kit Siang boleh jadi menteri lama dah,” kata bekas perdana menteri itu dalam ceramah perdana HARAPAN di IDCC dekat sini, semalam.
“Tahun 69, bila Tun Razak cuba nak tubuh Barisan Nasional, parti DAP dijemput, bukan sahaja dia jemput Gerakan, bukannya sahaja dia jemput SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), parti DAP pun dijemput.
“Tapi kalau Kit Siang nak jadi menteri, dia join lah. Siapa yang semua join dapat jadi menteri, tapi dia tak ingin nak jadi menteri pun, apatah lagi nak jadi perdana menteri.”
Pemimpin UMNO sebelum ini menyerang Kit Siang dengan pelbagai tohmahan kononnya pemimpin veteran DAP itu menginginkan jawatan perdana menteri bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi kaum Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA