Jumaat, 21 Julai 2017

Jadi calon pak turut polisi kerajaan yang merugikan?



Tiada faedah jika mahasiswa yang berdiam diri terhadap isu berkaitan hak mereka dan kepincangan urus tadbir negara menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tegas Pengerusi Mahasiswa Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda.
Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda Beliau berpendapat pemilihan penuntut universiti sebagai calon PRU wajar mengambil kira sejauhmana golongan berkenaan berperanan aktif menyuarakan hal merangkumi isu kampus sehingga membabitkan kepentingan negara ini.
"Adakah mahasiswa tersebut mampu untuk memperjuangkan isu berkait rapat dengan mahasiswa seperti mansuh AUKU, pendidikan percuma, pengurangan dana universiti awam dan sebagainya?
"Atau adakah mahasiswa tersebut akan hanya menjadi pak turut pada segala polisi kerajaan yang merugikan gologan pelajar ini?" soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang cadangan memilih peserta Parlimen Mahasiswa 2017 sebagai calon BN pada PRU-14, beliau berkata, Mahasiswa Amanah mengalu-alukan hasrat tersebut.
"Selain BN, Parti Sosialis Malaysia(PSM) juga baru-baru ini mengisytiharkan seorang calon daripada kalangan mahasiswa yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
"Namun, kami di peringkat Mahasiswa Amanahberpendapat apa yang jauh lebih penting ialah persoalan sejauh manakah impak yang mahasiswa itu akan berikan dalam membawa kebaikan kepada golongan mahasiswa," ujarnya.
Menurutnya, jauh lebih teruk sekiranya mahasiswa yang dipilih sebagai calon bertanding itu senyap seribu bahasa dalam isu salah guna kuasa dan penyelewengan seperti skandal 1MDB dan sebagainya.
Sehubungan itu, Fadhli menegaskan paling penting adalah pendirian mahasiswa untuk menyatakan dan memperjuangkan kebenaran sama ada ketika berada di pihak kerajaan atau pembangkang.
"Sekiranya seorang mahasiswa tersebut menang dan menjadi ahli parlimen sekalipun tetapi bisu pada segala salah guna kuasa, itu akan hanya memalukan taraf seorang mahasiswa," tambahnya lagi.
Ahmad Zahid sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Sempena Program Parlimen Mahasiswa 2017 berkata, beliau telah memberitahu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh supaya "berbisik" kepada Perdana Menteri tentang hasrat tersebut.

Selain Idris, turut hadir pada majlis itu Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
“Memandangkan gendang PRU sudah berbunyi, kita ambil yang terbaik jadi calon," kata Zahid di hadapan lebih 200 peserta terdiri daripada pemimpin pelajar yang menerajui persatuan di 20 universiti awam dan enam universiti swasta di ibu negara pada 18 Julai lalu.
Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno itu juga mencadangkan para peserta Parlimen Mahasiswa ditambah elaun sekali ganda berbanding RM100 sehari pada masa ini.
Persidangan selama dua hari itu dilapor membahaskan dua usul iaitu merekabentuk pendidikan tinggi negara dan komitmen golongan mahasiswa untuk bersama kerajaan membina bangsa cemerlang seiring pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA