Selasa, 11 Julai 2017

Izzah: Kerajaan giat lumpuh demokrasi, bukan keganasan

izzahKEADILAN mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyekat kebebasan berpolitik bukannya memerangi keganasan di negara ini.
Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, sejak Sosma diperkenalkan 5 tahun lalu, seramai 979 orang ditahan di bawah akta itu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 177 orang sahaja yang ditahan di negara ini kerana kaitannya dengan IS.
“Saya percaya jumlah itu adalah sebahagian daripada 43 warga asing ditahan kerana kaitan mereka dengan IS seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Hakikat ini bermakna hampir 800 orang yang ditahan tidak ada kaitan dengan IS. Mereka adalah penggiat dan aktivis demokrasi yang berjuang memerangi salah laku kerajaan dan rasuah.
“Maka, terbukti gerak kerja Kerajaan Persekutuan lebih tertumpu untuk melumpuhkan demokrasi di negara ini, bukannya memerangi keganasan dengan sepenuh hati,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu sebagai membalas kenyataan penuh Menteri Pertahanan yang mendakwa Pakatan Harapan tidak mampu menghalang pengaruh IS dan aktiviti keganasan di Malaysia sekiranya memerintah negara.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mempersoalkan bagaimana Hishammuddin boleh mendabik dada mengakui kerajaan mampu melawan ancaman IS dengan berkesan.
Katanya, hal itu kerana fakta sebenar menunjukkan umat Islam negara ini enam kali ganda lebih ramai daripada warganegara Indonesia yang menyertai IS.
“Saya sekali lagi menantikan detik dan ketikanya Hishammuddin menjemput kami di barisan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan.
Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihati rakyat memilih parti yang mampu berdepan ancaman pengganas dan hanya BN mempunyai pengalaman berdepan pengganas dan menangani keganasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA