Selasa, 11 Julai 2017

Isyarat Anwar kepada kain lampin lama

Oleh Rozhan Othman
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri sebagai calon perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan adalah luar biasa dalam politik Malaysia.
Lazimnya, pemimpin politik lebih cenderung mengenengahkan diri mereka. Kecenderungan ini menyebabkan perubahan sukar berlaku dalam politik Malaysia.

Kebanyakan pemimpin akan cuba kekal lama dalam jawatan mereka. Inilah sebabnya kebanyakan pemimpin kanan parti politik Malaysia berumur lebih dari 60 tahun. Peluang untuk pemimpin muda naik umumnya amat terbatas. Sudah tiba masanya kita memikirkan satu anjakan mengenai pemimpin yang sepatutnya memimpin kita.
Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat pada umur 48 tahun. Emmanuel Macron dilantik sebagai presiden Perancis pada umur 39 tahun.
Justin Trudeau dilantik sebagai perdana menteri Kanada pada umur 45 tahun. Kesemua mereka ini juga dilihat sebagai pemimpin yang membawa perubahan dan nafas baharu dalam politik negara mereka.
Di Malaysia semua pemimpin kanan politik adalah dari golongan veteran yang melebihi 60 tahun.
Pergantungan pada pemimpin yang sudah berumur mempunyai kelebihan tertentu. Mereka lebih berpengalaman dan mempunyai rangkaian penyokong yang setia.
Namun, kelebihan ini juga boleh menjadi liabiliti. Mereka lebih cenderung meneruskan status quo. Mereka sering bergantung kepada sekumpulan pembantu yang sama dan berpemikiran yang sama dengan mereka.
Budaya politik mereka lebih merupakan penerusan budaya politik lama. Sekiranya, kita menjenguk di sebalik retorik yang mereka bawa, umumnya tidak banyak idea baharu yang mereka kemukakan.
Anjakan pemikiran
Sudah tiba masanya kita melakukan anjakan pemikiran dengan melihat kepada calon yang lebih muda untuk memberi nafas baharu pada politik Malaysia dan negara kita.
Kita sudah lama dibelengu dengan banyak masalah dalam politik negara. Masalah ini lama menghantui kita dan kita tidak melihat sebarang nafas dan ide baharu lagi kreatif dari kalangan pemimpin veteran.
Masalah dadah masih berterusan tanpa sebarang petanda akan reda. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih berterusan. Seperti dahulu, yang ditangkap sekadar ikan bilis dan sardin.
Jerung yang buas masih terlepas dan hidup kenyang. Amalan pemimpin politik yang hanya muncul bertemu rakyat bila dah dekat pilihanraya masih tidak berubah. Ketidakupayaan menganjak ekonomi agar menjadi ekonomi yang dipacu inovasi masih berterusan. Budaya menyertai politik untuk menjadi kaya dan politik dedak masih diutamakan.
Tabiat meletak orang politik, termasuk mereka yang pernah terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sebagai pengerusi berbagai badan dan syarikat milik kerajaan masih kekal.
Agama masih dijadikan alat dalam mainan politik. Bumiputera masih merupakan golongan termundur. Dan kita tidak melihat sebarang ide baharu untuk mengatasi gejala ini.
Seperti di Amerika, Kanada dan Perancis, Malaysia memerlukan pemimpin muda untuk membawa perubahan dan memberi nafas baharu. Kita memerlukan pemimpin muda yang menunjukkan daya intelek yang tinggi serta beramanah dimana integrity dan kejujuran mereka tidak diragui. Mereka mestilah mempunyai kredibiliti dan dihormati masyarakat.
Mereka perlu memberi “thought leadership” dengan mencetuskan idea baharu untuk membangunkan negara. Ini perlu untuk merintis jalan kepada perubahan dan pembaikan.
Kita memerlukan pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke tahap seterusnya. Pemimpin muda ini juga mestilah seorang yang “team player” yang sentiasa mendapat mandat dari rakyat majoriti.
Bukan badut
Pemimpin muda yang kita perlu bukanlah sekadar badut yang kerap membuat kenyataan-kenyataan bodoh untuk mengampu ketua dan puak mereka. Kita juga tidak mahukan pemimpin muda yang mempunyai ego yang besar serta cita-cita tinggi dan lebih mengutamakan diri mereka.
Jika seorang pemimpin muda asyik mengenepikan pendirian partinya, kemungkinan besar dia juga akan mengabaikan mandat rakyat demi cita-cita peribadinya.
Kita harus menghindari pemimpin muda yang besar kepala tetapi ketandusan idea mengenai masa depan negara. Dan hindarilah pemimpin muda yang ingin menjadi penasihat pada hal mereka sendiri dalam kesesatan.
Sudah tiba masanya pemimpin veteran membuka laluan kepada pemimpin muda. Mereka masih boleh memainkan peranan sebagai penasihat kepada pemimpin muda. Pemimpin muda perlu lihat peranan mereka bukan sekadar sebagai tukang sorak kepada kepimpinan tertinggi.
Dalam Umno, kita ingin lihat pemuda yang mempunyai autonomi dan bersedia mengkritik parti. Inilah yang membuatkan pemuda amat berpengaruh dan gemilang pada tahun 60an dahulu. Ia turut menjadikan Umno lebih dinamik dan peka akan kehendak rakyat.

Cukuplah dengan pemimpin veteran menyeru ahli-ahli untuk merapatkan saf untuk menyokong dan mengekalkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka perlu membuka saf untuk memberi laluan kepada pemimpin muda tampil ke hadapan.
Isyarat Anwar
Apa lagi yang pemimpin veteran ini mahu?
Dalam Pakatan Harapan, sudah tiba masanya kita melihat penarikan diri Anwar sebagai calon Perdana Menteri sebagai isyarat kepada pemimpin veteran lain untuk turut bertindak sedemikian.
Allah akan tetap membalas jasa ikhlas pemimpin-pemimpin veteran ini. Sudah tiba masanya ruang yang lebih luas diberi kepada pemimpin muda.
Mereka ini di antara pemimpin muda bawah 60 tahun yang mempunyai ciri yang diperlukan untuk memberi nafas baharu kepada politik Malaysia. Calon perdana menteri Pakatan Harapan sepatutnya datang dari generasi ini.
Mark Twain pernah berkata, “Ahli politik dan kain lampin adalah sama. Kedua-duanya harus ditukar sekerap mungkin, atas sebab yang sama.”
Biarlah kain lampin lama ditukar dengan kain lampin baharu dan bukan dengan kain lampin yang sudah lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA