Rabu, 19 Julai 2017

Isu YIK : Kewangan terhad, kata Exco



Adalah sukar untuk memenuhi setiap tuntutan guru setiap peringkat dalam keadaan kewangan negeri yang terhad, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Kerajaan Negeri Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan.
Demikian respon kerajaan negeri terhadap kenyataan penasihat Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa yang kesal dengan perpindahan guru-guru pakar Yayasan Islam Kelantan ke Kementerian Pelajaran baru-baru ini,
Dalam satu kenyataan 18 Julai lalu, Datuk Husam mempertikaikan pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus membiarkan guru-guru yang perpengalaman berkhidmat hampir 29 tahun, tetapi bertaraf sandaran tanpa pencen.
"Setiap kali temuduga ke jawatan tetap berakhir, rungutan berbunyi.
"Guru lebih Junior isteri orang besar atau keluarga mereka, mendahului senarai.
Beliau mencabar Exco pendidikan supaya menyenaraikan semua guru yang diserapkan ke jawatan tetap dan berpencen berdasarkan tempoh khidmat mereka ketika diserap.
"Sepatutnya apabila tempoh perkhidmatan guru tersebut telah cukup dan memenuhi syarat lain yang ditetapkan, mereka akan mendapat kenaikan pangkat bermula daripada tarikh genap tempoh perkhidmatan.
"Walau bagaimanapun proses ini tidak berlaku di YIK, kadang-kadang lebih daripada setahun kelewatan dan ini akan menjejaskan jumlah pencen guru berkenaan nanti.
Menjawab persoalan ini, Fadzli berkata kekangan kewangan bukan menjadi alasan untuk kerajaan mengabaikan kebajikan guru.
"Walaupun dalam jumlah yang terhad sentiasa ada kenaikan pangkat atau pergerakan dalam proses perjawatan dan penambahbaikan dalam aspek kebajikan," katanya.
Berhubung dengan polisi atau pekeliling Kementerian Pendidikan katanya, seperti pekeliling berhubung kenaikan berdasarkan "time-based", ada yang YIK terima pakai sepenuhnya dan ada yang diubahsuai mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan negeri.
"Ada yang YIK kenakan beberapa syarat-syarat tambahan sesuai dengan peranan dan matlamat yang ingin dicapai oleh sebuah institusi terpenting dalam sebuah negeri yang mempunyai dasar dan cita-cita yang berbeza dari kerajaan persekutuan.

"Betul katanya, ada guru-guru YIK yang berpindah ke Kementerian Pelajaran.
"Ramai di antara mereka yang sangat berpengalaman. Mereka mendapat tawaran yang lebih baik jadi kita tidak boleh menghalang mereka untuk mencari peluang yang lebih baik untuk diri atau keluarga mereka.
"Memang kita mengharapkan agar mereka terus kekal bersama YIK," katanya.
Berkaitan proses temuduga kenaikan pangkat guru, beliau mengaku tidak terlibat dalam panel temuduga.
"Antara ketua panel temuduga adalah SS Datuk Mufti dan YAA Dato Ketua Hakim Syarie Kelantan.
"Mereka sangat teliti dalam proses pemilihan mengikut kelayakan dan merit.
"Saya berkeyakinan dan percaya mereka telah menjalankan amanah dengan penuh tanggung jawab," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA