Khamis, 20 Julai 2017

Isu ekonomi jadi kebimbangan utama pengundi menjelang PRU14

KOS sara hidup yang tinggi, gaji rendah dan pekerjaan yang diambil pekerja asing adalah kebimbangan utama pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menurut satu tinjauan baru-baru ini.
Kajian itu dibuat menerusi temuduga dengan 17,107 responden melalui telefon oleh Invoke Centre for Initiative Policy (I-CPI) dari 5 Jun hingga 14 Julai.
"Para responden bimbang dengan isu ekonomi - kos sara hidup, pekerjaan dan upah yang rendah," kata naib presiden PKR, Rafizi Ramli.
"Isu-isu ini jauh lebih penting kepada pengundi berbanding dengan rasuah dan penyelewengan dana awam."
Beliau berkata, tinjauan itu menunjukkan kos sara hidup dan harga barangan, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mengungguli senarai kebimbangan di kalangan pengundi.
"Kebimbangan utama mereka yang lain adalah bilangan pekerja asing yang besar di negara ini, di mana menurut mereka memberi kesan ke atas peluang pekerjaan kepada rakyat."
Rafizi juga berkata, sokongan daripada pengundi Melayu lebih cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH) dan ini berdasarkan kebimbangan mereka yang merasakan kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Kaji selidik itu menunjukkan 36% pengundi Melayu memilih untuk menyokong PH sementara sokongan untuk BN adalah 35%.
Bagi pengundi Cina, 53% menyokong PH manakala 22% memilih BN. Sokongan pengundi India adalah 42% untuk PH dan 44% untuk BN.
Peratusan selebihnya dikongsi di kalangan penyokong PAS dan pengundi yang masih belum membuat keputusan atau memutuskan untuk tidak mengundi.
"Dengan jumlah sokongan pada Julai 2017, ada kemungkinan BN akan kalah dalam PRU14 jika PH berjaya memberikan penyelesaian untuk ketiga-tiga kebimbangan utama ini," kata Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA