Isnin, 31 Julai 2017

Ismail Sabri: Umno tidak akan buka pintu kepada Dr M

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Dr Mahathir tidak boleh keluar dan kembali ke parti itu sesuka hati kerana ia bukan partinya dan ada pelbagai prosedur perlu dipatuhi.
ismail-sabri
Umno tidak akan menerima Tun Dr Mahathir Mohamad semula, walaupun Datuk Seri Najib Razak bukan lagi perdana menteri, kata Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini kerana, katanya, pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM itu membidas kepimpinan sedia ada dan kini merupakan musuh Umno.
Beliau yang dipetik The Star berkata, bekas presiden Umno itu tidak boleh keluar dan kembali ke parti berkenaan sesuka hati kerana itu bukan partinya dan ada pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi untuk menyertai Umno.
“Kami tidak akan pelawa dia kembali ke Umno semula dan ia tidak mudah untuk Dr Mahathir menyertai parti semula kerana dia kini berada dalam parti lain dan merupakan musuh Umno,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Belud, hari ini.
Jumaat lalu, Dr Mahathir melalui sebuah video klip yang dimuat naik ke Facebook berkata, beliau tidak akan kembali semula kepada Umno, walaupun Najib bukan lagi perdana menteri kerana parti itu sudah jauh tersasar dari matlamat asalnya.
Pada Mei 2008, Dr Mahathir keluar Umno selepas tidak berpuas hati dengan pentadbiran Abdullah.
Pada Februari 2016, bekas perdana menteri itu keluar Umno untuk kali ke-2 dalam tempoh 8 tahun kerana tidak puas hati dengan pentadbiran Najib berikutan penyingkiran anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.

1 ulasan:

  1. Tak apalah datuk, selepas pru14, jika umno kalah, mungkin umno pun dah tak ada. Semua masuk bersatu pula. Cuba datuk fikir kenapa dr M amat memusuhi umno skrg.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA