Selasa, 11 Julai 2017

Ikrar tawan Johor tanpa taktik kotor, PH bukan macam UMNO

KLUANG, 10 JUL: Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk menawan Johor secara bermaruah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, sekaligus menolak dakwaan UMNO kononnya terdapat usaha memindahkan pengundi sedang dilakukan pihak pembangkang.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, taktik kotor seumpama itu, selain persempadanan semula, adalah operasi standard UMNO dan tidak akan sama sekali dilakukan PH yang menjunjung tinggi semangat demokrasi.
“Bagi kami, demokrasi bererti bahawa pengundi diberi pilihan dan hak untuk memilih kerajaan yang ada, tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam kenyataan hari ini.
“Kami tahu pengundi di Johor memandang tinggi nilai demokrasi seumpama itu dan mereka bersedia untuk berubah. Johor adalah negeri barisan hadapan untuk pembangkang memulakan demokrasi yang tulen di Malaysia.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kononnya pembangkang sedang dalam usaha memindahkan pengundi bagi merampas Johor daripada Barisan Nasional (BN).
Menurut Chin Tong, kerusi Parlimen Labis; Segamat; Ledang; Sekijang; dan Muar di utara Johor serta Pasir Gudang; Pulai; Tebrau; dan Johor Bahru di Selatan Johor adalah antara kerusi tidak selamat bagi UMNO-BN.

“Jika sokongan yang kuat kaum Melayu memihak kepada pembangkang, tidak mustahil (kerusi Parlimen) Simpang Renggam, Tanjong Piai dan Ayer Hitam juga boleh jatuh ke tangan pembangkang,” ujarnya.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Pengarah Pendidikan Politik DAP itu, pembangkang telah memenangi 18 daripada 56 kerusi pada PRU-13 dengan kerusi Jorak kini dianggap sebagai kerusi pembangkang selepas penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Untuk membentuk kerajaan negeri, 29 kerusi diperlukan. Hanya 10 kerusi lagi diperlukan pembangkang, jika semua kerusi yang disandang kini kekal dimenangi PH pada PRU-14 akan datang,” ujarnya.

1 ulasan:

  1. Sebenarnyer apa2 yg dicakap umno/bn tu terbalik....sebenarnyer mereka yg merancang memindah pengundi sebenarnyer.....cuba kalu PH yg buat begitu.....sekejap jer didakwa.....tak sempat nak tuduh lg....lihatlah kes ROS dan DAP tu.....sebenarnyer itu semua menunjukkan betapa terdesaknyer umno/bn sekarang.....mereka merasa semua serba tak kena disbbkan penolakan rakyat kini.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA