Isnin, 31 Julai 2017

Hutang kerajaan pusat naik RM18 bilion, menurut audit terkini

PTPTN menjadi badan berkanun yang menerima pinjaman dijamin kerajaan paling tinggi pada 2016.
audit-ringgi
 Laporan audit jabatan kerajaan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan hutang kerajaan pusat pada 2016 meningkat sebanyak 17.935 bilion berbanding 2015. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016, pada akhir 2016, hutang kerajaan persekutuan secara keseluruhannya ialah RM648.475 bilion, daripada RM630.540 pada akhir tahun 2015.
Kedudukan hutang negara itu menunjukkan peningkatan 5 tahun secara berturut-turut dari 2012 sehingga 2016.
Hutang negara pada 2012 ialah RM501.617, RM539.858 (pada 2013), dan RM582.828 (2014).
Laporan itu turut menunjukkan pinjaman yang dijamin oleh kerajaan persekutuan, menunjukkan trend peningkatan setiap tahun dari 2012 hingga 2016.
Jaminan kerajaan bagi 4 badan berkanun dan 25 syarikat secara keseluruhan pada 2016 berjumlah RM187.234 bilion berbanding RM177.728 bilion pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak RM9.5 bilion.
Dibandingkan tahun sebelumnya, pinjaman yang dijamin kerajaan ialah RM136.876 bilion (2012), RM152.715 bilion (2013), dan RM167.838 bilion (2014).
Badan berkanun yang menerima jaminan pinjaman paling tinggi adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kenaikan berjumlah RM5.15 bilion, dan DanaInfra Nasional Berhad dengan kenaikan berjumlah RM9 bilion.
DanaInfra Nasional dilantik kerajaan untuk antara lain menguruskan perbelanjaan projek MRT.
Selain itu, mulai 2016, kerajaan turut memberi jaminan kepada pinjaman oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang berjumlah RM4 bilion.
Syarikat yang mencatatkan pengurangan pinjaman dijamin kerajaan ialah Khazanah Malaysia Berhad (berkurangan sebanyak RM2 bilion), K.L International Airport Berhad (berkurangan sebanyak RM2.3 bilion), Penerbangan Malaysia Berhad (berkurangan sebanyak RM4.3 bilion) dan Sarawak Hidro Sdn. Bhd (berkurangan sebanyak RM4.6 bilion).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA