Rabu, 12 Julai 2017

Husam masih tercari-cari pejabat Climate Protectors di Kelantan

Alam maya atau diperdaya, soal pemimpin Amanah itu selepas gagal mengunjungi pejabat syarikat.
husam-climate
Datuk Husam Musa hari ini mempersoalkan sama ada sebuah syarikat yang terpalit kontroversi menjalankan pemulihan tanah hutan seluas sejuta ekar di Kelantan benar-benar wujud, selepas gagal mencari pejabat di beberapa alamat yang dinyatakan.
“Sebuah syarikat bertaraf antarabangsa di bawah mekanisma UN, tidak mempunyai pejabat tetapi mendakwa mempunyai pejabat? Menghairankan,” katanya menjawab penjelasan Exco Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Datuk Anuar Tan di sidang DUN Kelantan semalam.
Husam berkata beliau cuba mengunjungi pejabat Climate Protectors, syarikat yang dinamakannya ketika mempersoalkan perjanjian menguruskan sejuta ekar tanah negeri.
Naib Presiden Amanah itu sebelum ini berkata syarikat itu tiada kelulusan Bank Negara Malaysia untuk mengutip wang daripada orang ramai melalui penjualan token digital di mana pelabur dijanjikan pulangan.
Susulan itu, kerajaan negeri Kelantan menafikan mengarahkan mana-mana syarikat mengutip wang untuk projek meningkatkan stok karbon di hutan hujan, sebaliknya berkata perjanjian dengan Climate Protectors adalah bagi tujuan penilaian daripada saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan.
Sebelum ini, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menafikan pernah mengiktiraf syarikat tersebut menjalankan program pemeliharaan alam sekitar di bawah Program Kerjasama Mengurangkan Pelepasan dari Pembasmian dan Degradasi Hutan di Negara Membangun (UN-REDD).

Husam berkata berdasarkan kenyataan Anuar, beliau berkunjung ke alamat yang bertempat di Bangunan MPKB, Pasar Berek 12, Kota Bharu, tetapi gagal menemui pejabat syarikat itu.
“Bagaimana YB boleh menegaskan hal ini tanpa memeriksa sama ada faktanya benar atau tidak?
Ini membawa kesan berbohong di dalam DUN,” kata Husam.
Husam berkata 2 lagi alamat syarikat itu di Kuala Lumpur seperti tertera di laman web dan dokumen perjanjian, juga tidak wujud.
“Saya bayangkan, untuk menguruskan sejuta ekar hutan simpan bagi perdagangan karbon yang bernilai berbilion ringgit seperti dakwaan YB, pejabatnya penuh dengan kakitangan dan pakar, peralatan canggih serta sibuk dengan pelbagai acara pengurusan.
“Paling tidak, seorang staf untuk melayan pertanyaan. Semua itu di alam maya atau perdaya?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA