Isnin, 24 Julai 2017

HARAPAN tanpa Mahathir

Persoalan Dr Mahathir masih masih belum tamat walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mencapai persetujuan mengenai struktur pimpinannya. Teka-teki pandangan umum mengenai Tun Dr Mahathir dan posisinya sebagai Pengerusi Harapan masih membelenggu penyokong pembangkang mahupun mereka yang cenderung kepadanya. Harapan seperti masih memujuk ahli-ahli dan penyokongnya menerima keputusan yang tidak terjangka ini.
Tidak banyak yang boleh Harapan lakukan untuk memberi justifikasi memaksa rakyat menerima kehadiran bekas Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia itu. Walaupun Lim Kit Siang, Mohamad Sabu malah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling terkesan dengan Tun Mahathir juga dengan terbuka memaafkan dan berlapang dada dengan situasai hari ini, masakan tidak kita?
Bagi sesetangah pendokong, sifir memaafkan Tun Mahathir sebagaimana yang dibuat oleh tokoh-tokoh ini belum tentu boleh melegakan mereka.
Namun, penulis terkesan sedikit dengan pelbagai rencana yang ditulis untuk merungkai persoalan ini. Malah masih ada dialog mahupun forum-forum yang sedang dijadualkan untuk mendapat maklum-balas kehadiran Tun Mahathir dalam politik pembangkang.
Mereka tahu, apa-apa topik hangat melibatkan Mahathir pastinya menjemput lebih ramai penonton. Menjual nama Mahathir untuk mana-mana program politik pasti laris!
Kita telah bersatu, apa lagi yang dimahukan?
Saya terpanggil memikirkan apakah mesej yang masih kita cari hari ini? Telah banyak kekeliruan dan kelesuan yang melanda HARAPAN sebelum ianya dimuktamadkan dengan logo baru-baru ini. Tulisan ini bukan galak benar hendak mempertahankan tokoh yang pernah digelar sebagai Mahafiraun ini, cuma sekadar mengharapkan sedikit anjakan dan ihsan.
Hari ini adalah hari di mana kita patut tutup segala duka lama yang membantut usaha kita menjadi kerajaan di Putrajaya. Hari ini kita wajar berdialog dan berforum, membedah dan membongkar idea bagaimana Harapan boleh dipotretkan sebagai kerajaan yang sedang menanti dan bukan pula yang sebaliknya.
Masa yang terbuang dek kerana membincangkan hal-hal seperti logo dan siapa patut menjadi PM telah berlalu. Kita perlu segera cergas mengejar masa yang dibazirkan dan mempersiapkan diri sebagai kerajaan yang bakal mengganti.
Harapan dalam landasan yang tepat
Harapan sebenarnya telah bersedia semenjak kita mencapai persetujuan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebuah parti bukan multi-racial yang diusahakan Dr Mahthir bertujuan menumbangkan kerajaan Umno-BN. Sejak dari itu, Harapan telah selangkah memenangi pertandingan bersaing ke Putrajaya.
Ia telah berada di dalam kedudukan yang tepat dan di landasan yang betul. Semua persoalan peribadi dan dendam lama berjaya dibuang jauh demi membina semula negara tercinta ini. Inilah adalah politik matang yang sebenarnya.
Dr Mahathir hari ini telah mengubah dirinya menjadi sebahagian daripada kita yang selama berpuluh tahun menjadi musuh tradisi pembangkang dan kemuncaknya ketika pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998.
Mahu tidak mahu, kita terpaksa bersetuju kehadiran Mahathir telah mengisi senarai tokoh-tokoh pembangkang menyertai Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu. Pembangkang berada dalam kedudukan terkuatnya sepanjang sejarah muafakatnya.

Pandangan peribadi mengenai beliau cuma mengheret kita ke lembah buang masa yang tidak membantu membina persepsi yang baik untuk Harapan. Sungguhpun begitu, penulis bersetuju, sejarah lampau Dr Mahathir tentunya menghantui Harapan dan menjadi beban sepanjang tempoh berkempen dalam PRU 14 akan datang.
Namun, daripada terus mencetus pemisahan antara dua kumpulan – kumpulan tegar penyokong Mahathir dan kumpulan pembangkang yang tidak menyokong Mahathir – menjadikan kesatuan Harapan yang dibentuk sesuatu yang sia-sia.
Terima Mahathir dan maju terus
Malaysia wajar disatukan hari ini setelah Harapan berjaya menyatukan kepelbagaian pimpinan pembangkang.
Inilah masanya, kita perlu cekap mengurus kesatuan hati kita. Dialog dan forum-forum mengenai polisi dan kesatuan Harapan lebih wajar diketengahkan berbanding perbincangan mengungkit derita dan cerita lama yang tidak akan berkesudahan.
Mahathir hari ini telah bersama pembangkang dan menyempurnakan impian menumbangkan Umno-BN selama berdekad lamanya.
Menjadi saksi sejarah gabungan semula Anwar Ibrahim – Mahathir di pentas politik Malaysia adalah cita-cita seorang patriot tulen yang mahu Malaysia ini kembali ke era kegemilangannya.
Penyokong dan ahli-ahli HARAPAN wajar mengembleng tenaga menjadi satu sifat – mempertahankan kesatuan ini dan membentuk pandangan umum kesiap-siagaan kita.
Masa telah terbuang begitu lama semenjak Pakatan Harapan ditubuhkan dengan hanya tiga parti – KEADILAN, Amanah dan DAP. Kini Harapan diisi oleh Bersatu dan juga Tun Dr Mahathir.
Kita boleh lihat kesannya ketika pembangkang kehilangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan kemudiannya Anwar Ibrahim; bagaimana pula HARAPAN tanpa Dr Mahathir?
Jadi, jangan bazirkan masa hari ini.

1 ulasan:

  1. Tindakan segelintir ahli PKR yang mendakwa sebagai otai reformis yang begitu kritikal terhadap Tun Dr. Mahathir ibarat seperti golongan Khawarij yang mempunyai sifat dendam yang melampau.

    Kalau diikutkan, Tun Dr. Mahathir pun patut rasa dendam terhadap segala penghinaan, caci maki, serta pelbagai tuduhan yang hingga kini masih belum dapat dibuktikan oleh otai reformis sendiri.

    Malahan dikalangan ahli-ahli PPBM sendiri, terutama daripada UMNO atau pendokong UMNO sebelum ini, kami juga mempunyai sentimen yang bercampur baur terhadap parti pembangkang dan kepimpinan pembangkang sebelum ini, tetapi kami berusaha untuk mengikis perasaan itu kerana PPBM adalah sebahagian daripada gabungan pembangkang.

    Matlamat kita adalah untuk menyelamatkan Malaysia, kami di PPBM mengetepikan semua sentimen itu selepas semua parti pembangkang dan kepimpinan pembangkang menerima kami untuk perjuangan menumbangkan rejim kleptokrat UMNO BN Najib.

    Saya tidak pasti apa lagi yang dimahukan oleh orang seperti Saari Sungib dan Abdul Razak, apakah mereka mahu berasa puas hati dengan membelasah atau membunuh seorang tua yang tidak berdaya, yang berumur 92 seperti Tun Mahathir itu untuk berasa puas hati?

    Di saat pembangkang di landasan tepat untuk menumbangkan rejim kleptokrat UMNO BN Najib, ada pula yang menjadi pengacau di tengah jalan, saya sendiri musykil dengan orang sebegini.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA