Sabtu, 22 Julai 2017

HARAPAN sedang muktamad perlembagaan, rancang daftar minggu depan

Pakatan Harapan masih belum mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana ia sedang memuktamadkan perlembagaan gabungan itu.
"Draf terakhir Perlembagaan Harapan akan siap minggu depan. Kita akan hantar permohonan pendaftaran tidak lama lagi (selepas itu)," kata naib presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi Malaysiakini.
Para pemimpin HARAPAN berkata mereka menjangkakan untuk mendaftar gabungan itu apabila perlembagaannya siap.
"Minggu depan, kami akan maklumkan bila sebenarnya," kata Setiausaha penganjur kebangsaan DAP Anthony Loke kepada Malaysiakini.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Abdul Rahman juga berkata matlamatnya adalah untuk menghantar permohonan pendaftaran itu minggu depan tetapi ia tertakluk kepada keputusan majlis presiden HARAPAN.
Barisan kepimpinan, logo dan perlembagaan HARAPAN telah menjadi tiga halangan utama dalam usaha gabungan itu untuk mendaftar dan bertanding di bawah satu simbol dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Gabungan itu mengumumkan barisan kepimpinan dan logonya pada 14 Julai dan ini bermaka tinggal satu halangan untuk diselesaikan sebelum ia mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada ROS.
Bagaimanapun, yang menjadi perhatian ialah sama ada ROS akan meluluskan permohonan gabungan itu, untuk bertanding menggunakan satu logo dalam pilihan raya umum.
Jika tidak, parti-parti komponennya perlu menghadapi pilihan raya umum yang akan datang di bawah logo parti masing-masing, yang dilihat akan memberi kelebihan kepada BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA