Jumaat, 14 Julai 2017

HARAPAN ikrar hapuskan GST dalam masa 100 hari berkuasa

Pakatan Harapan mengumumkan rancangannya untuk 100 hari pertama selepas mengambil alih Putrajaya.
Membaca kenyataan gabungan itu, pengerusi baru HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa ia, antara lain, akan menghapuskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Di bawah adalah senarai perkara-perkara yang dirancang untuk dilakukan:
- Menghapuskan GST;
- Menstabilkan harga petrol;
- Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
- Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
- Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal 1MDB; dan
- Memulihkan Felda.
Mengumumkannya bersama-sama barisan kepimpinannya, Dr Mahathir berkata pakatan itu komited kepada matlamat bersama untuk menurunkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar lewat tengah malam Jumaat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Parti-parti dalam HARAPAN - DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia - juga komited untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
Mereka juga bersetuju untuk "membatalkan dan membetulkan" semua tindakan yang melanggar undang-undang oleh kerajaan semasa, yang memberi kesan kepada kepentingan rakyat.
Ini termasuk mengembalikan semula dana awam yang telah hilang melalui skandal besar 1MDB, kata parti-parti tersebut dalam pernyataan yang dibacakan oleh Dr Mahathir itu.
Mereka juga bersetuju untuk membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan segala tuduhan terhadap mereka, serta melakukan reformasi undang-undang dan institusi untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
HARAPAN dalam mesyuaratnya malam tadi turut memuktamadkan logo dan struktur kepimpinannya selepas berbulan-bulan rundingan.
Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai ketua umum, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden HARAPAN.

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA