Isnin, 24 Julai 2017

HARAPAN ajak orang ramai berhimpun tanda sayangkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Sebuah perhimpunan raksasa yang diberi nama ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ akan dilangsungkan di Padang Timur, Petaling Jaya 14 Oktober hadapan.
Perhimpunan yang akan bermula pada jam 4 petang itu bertujuan untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat mengenai skandal kehilangan dana awam melibatkan puluhan billion ringgit.
Pengumuman perhimpunan itu dibuat Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dalam sidang media di Menara Parlimen sebentar tadi.
“Kita akan lancar kempen berkenaan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ dan kita akan adakan satu himpunan raksasa pada 14 Oktober,” kata beliau menjangkakan kehadiran puluhan ribu rakyat Malaysia.
Ini merupakan perhimpunan pertama anjuran HARAPAN sebagai sebuah gabungan semenjak menampilkan struktur organisasi dan lambangnya, yang kini dalam proses untuk didaftarkan.
Tun Mahathir sebelum ini telah pun menyertai dua perhimpunan Bersih, bagi menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, ekoran skandal mega pengubahan wang haram melibatkan dana terkait 1MDB.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini mendedahkan senarai aset yang mahu disita, didakwa telah dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB, termasuklah berlian merah jambu bernilai US$27.3 juta.
Parlimen hari ini pula menolak puluhan soalan daripada Ahli-ahli Parlimen HARAPAN berkait tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam skandal tersebut yang telah mengakibatkan Malaysia dikenali sebagai sebuah pentadbiran kleptokrat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA