Jumaat, 28 Julai 2017

Hanya berlian yang boleh memotong berlian

RAMAI yang bertanya kepada saya adakah Dr Mahathir boleh dipercayai untuk memimpin Pakatan Harapan (PH)? Bukankah beliau memiliki rekod berdekad terhadap musuh politik beliau sepanjang 22 tahun di singgahsana kuasa?
Begini, Parti Amanah Negara (Amanah) bukan sebuah mahkamah yang akan berperanan menghukum segala kesalahan dan jenayah perilaku manusia. Amanah adalah sebuah parti politik bernuansa Islam yang menawarkan sentuhan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa jua yang bersedia menyantuni setiap manusia dengan dakapan lembayung "Rahmatallillalamin."
Menghukum manusia sekaligus berhias diri dengan dendam kesumat, biarlah menjadi ajaran terlarang dalam Amanah khususnya di kalangan pimpinan utamanya. Amanah sentiasa mendepakan tangan untuk menyuburkan kebersamaan demi memperjuangan kepentingan rakyat seterusnya negara.
Dr Mahathir adalah manusia biasa yang juga ahli politik seperti mana yang lain. Beliau ada sejarah masa silam yang panjang yang sebahagian menyebutnya sebagai "baggage".
Di antara kita bebas membaca masa lampau beliau dan membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dengan sikap serta pendirian politik terkini beliau khususnya terhadap tadbir urus negara.
Tiada sesiapapun yang boleh merampas hak dan kebebasan ini daripada sesiapa. Kita bersama menentang Najib kerana kesalahan yang beliau lakukan sekarang kepada rakyat dan negara. Permusuhan di kalangan rakyat termasuk dengan Dr Mahathir hanya akan menjadikan Najib semakin bermaharajalela di tampuk kuasa.
Amanah bersedia memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir dalam konteks dan senario gawat negara kita pada hari ini. Demikian juga PKR dan DAP.Kami saling mempercayai dan dengan kekuatan inilah kami berjaya membina Pakatan Harapan (PH).
Inilah mercu tanda yang kami bina sebagai cahaya harapan (Beacon of Hope) bagi rakyat dan negara. Kami berusaha memudahkan rakyat untuk membuat pilihan sama ada memilih PH atau Barisan Nasional (BN).
Pemimpin agung dalam peradaban manusia bersifat jiwa besar, pemaaf dan tidak berdendam. Itulah akhlak mulia Nabi Muhammad. Begitu juga negarawan kelas dunia seperti Nelson Mandela , Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jr yang membuktikan mereka berjaya membuang jauh sentimen perkauman, warna kulit, peribadi dan dendam demi mengangkat kemulian insan di maya ini.

Salahuddin Ayub

1 ulasan:

  1. Ini lah jwpn yg matang dn rasional yg boleh dikatakn pmimpin msa dpn. Bukan spt parti yg kononnya matang, tapi suka menghukum org, mgkafirkn org lain yg tidak seia dgnnya...
    Dia rsa pihak dia je yg betul buat islam...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA