Khamis, 13 Julai 2017

Hadir hendak tengok berlian merah jambu RM116.75 juta?


Oleh Mohd Sayuti Omar
Sekali lagi rumah terbuka hari raya Najib Razak di Pekan mendapat perhatian ramai dari semua lapisan masyarakat sehingga mencecah 70,000. Semasa rumah terbuka Perdana Menteri di raya pertama minggu lalu di Putrajaya ia juga mendapat perhatian rakyat, angka kehadirannya dilaporkan juga 70,000.

Tanpa menafikan angka itu sengaja diperbesarkan untuk menunjukkan rakyat sayang dan kasih kepada pemimpin nombor satu negara itu, kehadiran begitu ramai tentu ada sebab musababanya. Mungkin ada mengatakan orang ramai datang beraya dengan Najib kerana hendak menikmati makanan percuma.
Juadah hari raya di rumah Najib yang disponser oleh kerajaan tentu enak dan berbagai pilihan. Ia lebih lazat daripada juadah dihidang oleh jiran-jiran sebelah rumah kita di kampung atau pekan-pekan.

Pun begitu saya tidak nampak mereka hadir kerana mengejar juadah sangat. Masakan begitu pelahap sekali rakyat Malaysia atau pun rakyat di Pahang untuk merasai hidangan di rumah Najib. Begitu juga tidak nampak mereka hadir kerana ingin bersalam dan bermaaf-maafan dengan Najib dan Rosmah.

Rakyat tidak ada kesalahan besar kepada kedua lakibini itu. Sebaliknya Najib dan Rosmah yang ada banyak dosa dengan rakyat. Perhatikan berapa banyak isu mengenai mereka ditimbulkan dan berbagai jenis orang bercakap tentang mereka. Buka atau sertailah mana-mana grup whastsaap segala macam tuduhan dan siniran kepada mereka berdua ada ada kalanya tidak sanggup kita membacanya.

Mengenai dosa dan kesalahan mereka kita senaraikan dalam posting yang lain.

Jadi untuk apa rakyat menduyuni rumah terbuka Najib? Saya ada fikiran begini mengenai hal ini. Jangan marah kalau pun tidak betul.

Kita tahu yang hadir itu kebanyakan masyarakat bawahan, rakyat marhaen yang bukan semua dapat menggunakan akal fikiran sendiri untuk membuat apa-apa kesimpulan atas apa diketahuinya. Mereka ini pula mudah mempercayai kepada maklumat tanpa mengira apakah sumber itu sah atau sebaliknya.

Dalam hal ini ada satu tarikan kenapa mereka sanggup ke rumah Najib. Tarikan yang dimaksudkan itu tentulah cerita yang dihebuhkan sejak beberapa bulan lalu, yakni mengenai pendedahan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika yang mengemukakan saman untuk merampas pelbagai harta dan barang kemas bernilai ratusan juta ringgit.

Salah satu barang kemas yang disenaraikan untuk dirampas itu menjadi tarikan ialah berlian berwarna merah jambu seberat 22.17 karat yang bernilai RM116.75 juta. Apa mengejutkan berlian berkenaan dikatakan dihadiahkan kepada isteri Perdana Menteri (PMO1). Ia dibeli dari wang penyelewengan dana 1MDB.

Pendedahan DoJ itu mengejutkan rakyat negara ini dan dunia juga. Bagaimana pun ia dinafikan oleh Rosmah. Isteri PM itu mengancam akan mengambil tindakan mahkamah kepada seisapa yang mengaitkan berlin itu dengan dirinya. Bagaimana pun sampai sekarang Rosmah tidak menyaman sesiapa berkaitan berlian itu.

Mungkin mengenai berlian itu ia adalah palsu atau fitnah. Tetapi apabila ia dipertuturkan ramai, bahkan turut dilaporkan oleh media massa dunia, menyebabkan orang keliru untuk tidak menolaknya. Untuk apa dunia melaporkan mengenai berlian itu kalau ia sengaja untuk memburuk-burukkan Rosmah? Apakah untung negara asing dengan pendedahan itu. Para pembela Najib dalam negara pula lekas-lekas cuba mematikan isu itu dengan mengatakan ia adalah permainan kuasa asing.


Walaupun Rosmah dan kerajaan sendiri menafikan maklumat dari DoJ itu, tetapi ia telah dihebuhkan oleh pembangkang mengatakan ia adalah milik Rosmah. Sedikit sebanyak rakyat yang kurang maklumat dan mempercayai sumber pembangkang mungkin mempercayainya. Jadi mereka ingin melihat dan tahu sendiri segala tuduhan itu.

Menjadi tradisi orang Melayu perempuan mereka akan mengenakan berbagai eksoseri di badan mereka pada hari raya atau pun ketika menghadiri majlis-majlis berprestaj, perkahwinan atau pun makan malam. Orang Kelantan kata "berjangok". Dengan menaruh harapan isteri PM akan berjangok (bersolek) pada hari raya menyebabkan orang ramaia berduyun-duyun ke rumahnya.

Jadi kehadiran mereka yang ramai itu adalah mungkin hendak lihat apakah Rosmah ada pakai berlian berkenaan. Mereka mahu tahu apakah bentuk eksesori yang diperbuat daripada berlian itu. Apakah ia tali leher, tali tangan atau pun ikat pinggang atau pun gelang kaki?

Jadi kehadiran begitu ramai di rumah terbuka Najib itu salah satu faktor mungkin kerana pengunjung -- terutamanya perempuan mahu mengintai-intai berlian misteri berkenaan yang berharga RM112 juta, di mana sepanjang seumur hidup mereka sampai ke dalam akhirat mereka tidak akan menemui dan melihat berlian berkenaan.

Apakah pada hari raya itu Rosmah mengenakan berlian misteri tersebut? Saya tidak tahu kerana tidak hadir di rumah terbuka Najib dan tidak pun berminat dengan berlian berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA